Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Hujjatul Islam Muhammad Ridha Daulat Abadi dalam wawancara bersama Agensi Berita Taghrib berkata, "Masalah ini (perpaduan) hendaklah menjadi sebuah sensitiviti."
Beliau memetik kata-kata Imam Ali (a.s) 'Waspadalah kamu dengan perpecahan' dengan menyatakan, "Kita melihat para pengingkar Tuhan sekalipun, mereka cuba sedaya upaya dengan berbagai cara untuk mendorong orang awam ke arah agama dan pemikiran mereka. Kepentingan perpaduan di kalangan Syiah dan Sunni semakin terasa."
Menurut beliau lagi, Imam Khomeini sudah lama menduga bahawa perpaduan merupakan wacana yang penting di masa depan. Katanya, "Imam (rahmatullah alaih) telah menduga keadaan dunia Islam. Sementara itu kita hari ini telah menyaksikan perselisihan-perselisihan di kalangan umat Islam seperti di negara Mesir, Iraq, Afghanistan dan negara-negara Islam yang lain tidaklah terjadi melainkan diiringi dengan pertumpahan darah sesama saudaranya. Natijahnya yang lain ialah Islam itu sendiri menjadi lemah. Oleh itu kita percaya sekiranya perpecahan dan ketiadaan perpaduan di kalangan umat masih berterusan, maka Islam dan umatnya berada dalam bahaya sementara golongan kuffar dan munafik akan mengaut keuntungan."
Beliau menambah, "Pada masa itu, umat Islam terutamanya Syiah dan Sunni hendaklah bertindak, jangan izinkan perselisihan di kalangan umat terjadi sedangkan agama Islam merupakan agama yang sederhana dan tiada tolok bandingnya. Kebanyakan perselisihan yang terjadi di kalangan mazhab-mazhab Islam berpunca dari kumpulan-kumpulan pelampau, takfiri, dan Wahabi yang mana para ulama Islam Syiah dan Sunni sepakat menolak kumpulan ini.
Hujjatul Islam Daulatabadi menegaskan, "Dari perspektif ini, para ulama besar agama hendaklah berusaha lebih keras dan jangan biarkan pihak musuh memperalatkan perpecahan umat, dan jangan biarkan Islam dirosakkan sedangkan para syuhada di awal Islam telah banyak berkorban, begitu juga Rasulullah (s.a.w) dan para Imam Maksum, mereka tidak berhenti-henti berusaha sehinggalah kita di dunia hari ini mendapat manfaatnya."
Beliau menambah, "Hari ini keagungan Islam dan umatnya di seluruh dunia sedang diperdebatkan dan diselidik oleh semua kumpulan bukan Islam. Mereka bimbang kemunculan Islam di dalam kerajaan-kerajaan di peringkat antarabangsa. Oleh itu janganlah sampai keagungan dan kebesaran Islam dan umatnya menghadapi masalah ketiadaan perpaduan."