7 Disember 2013 - 20:30
Mohamad bin Sabu akan saman Ahmad Zahid

Mohamad bin Sabu bersama peguamnya mengkaji tindakan undang-undang yang akan dikenakan terhadap Menteri Dalam Negeri.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Timbalan Presiden Pas sedang meneliti tindakan undang-undang yang akan diambil terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung keceluparannya dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno 2013 di PWTC hari ini yang menuduh Mohamad mengamalkan ajaran Syiah.

Dalam ucapan itu Zahid mengumumkan kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Mohamad dengan memberikan kuasa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menangkap pemimpin kedua tertinggi PAS itu.

“Saya tak dengar sendiri apa dia kata jadi kena bincang dengan peguam dulu,” kata Mohamad.

Beliau turut menafikan dengan keras tuduhan Zahid tersebut dan menyifatkannya sebagai berniat jahat.

"Saya Ahli Sunnah Wal Jama'ah, seorang Islam yang mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jama'ah," katanya lagi.PAS sebelum ini telah beberapa kali menafikan tuduhan ini dengan penegasan bahawa tiada ahli PAS berfahaman Syiah.

Malah PAS mengalu-alukan jika ada pihak yang boleh membawa bukti ada dikalangan ahlinya mengamalkan ajaran Syiah.