Agensi Berita Ahlul Bait (ABNAco) - Sempena ulangtahun Sayyidah Fathimah Az-Zahra, Sayid Ali Khamenei mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat ke atas hari yang bertuah ini kepada hadirin yang terdiri daripada para penyair dan pujangga Iran pada hari Ahad lalu.
Beliau berkata, "Majlis agama merupakan peluang bagi individu tertentu untuk menerangkan pelajaran penting dari kehidupan tokoh-tokoh agama. Ianya hendaklah disampaikan dengan kesenian, kesedaran, memberi harapan, mencipta perpaduan dan menjaga seluruh batasan syariat dalam majlisnya. Tanggungjawab dan peluang ini menghadapi konspirasi pihak musuh Islam yang amat rumit dan ianya menjadikan kemajuan kerajaan Islam sebagai sasaran".
Beliau yang merupakan pemimpin tertinggi Revolusi Islam Iran menegaskan bahawa mendirikan majlis-majlis untuk para imam di dalam negara ini merupakan sebuah peluang yang menyenangkan dan dianggap sebagai salah satu nikmat-nikmat Allah (s.w.t). Beliau menambah, "Sekiranya fikiran manusia yang sempit tidak mampu menghitung dengan baik dimensi-dimensi peribadi tinggi seperti Fathimah Az-Zahra (a.s), namun meletakkan sikap-sikap dan martabat-martabat rohani tokoh-tokoh seperti ini di hadapan kita adalah sebuah keperluan sebagai teladan bagi mencapai matlamat besar masyarakat".
Selain itu kehidupan Islamik, dimensi-dimensi kehidupan kampung, bandar serta kebebasannya perlu menepati akhlak ulung masyarakat bertaqwa dan bersabar. Kata beliau, "Untuk mencapai masyarakat seperti ini hanya akan menjadi realiti dengan kewarakan, usaha dan menghindari kemalasan".
Ayatullah Sayid Ali Khamenei juga menganggap penyampaian dakwah yang berakar umbi dalam syair-syair untuk Ahlul Bait (a.s) yang dikumandangkan oleh ribuan pujangga dengan penuh kesenian merupakan sebuah peluang. Ujar beliau, "Peluang ini juga turut diiringi tanggung jawab tersendiri, iaitu menyiapkan latar belakang transformasi dalam negara".
Beliau turut menyentuh tentang usaha bersepadu musuh-musuh revolusi Islam dalam merosakkan akidah dan kepercayaan orang ramai dengan mewujudkan penyelewengan dalam haluan gerakan kerajaan Islam serta rakyat Iran menerusi alat-alat komunikasi dan elektronik. Tegas beliau lagi, "Misi pihak musuh ialah menundukkan Islam, dan menyekat contoh teladan masyarakat dan pendidikan Syiah di dalam dunia".
Pemimpin tertinggi revolusi Islam Iran ini berkata, "Bagi menghadapi konspirasi dan rancangan pihak musuh yang agak rumit ini, kerajaan Islam mempunyai keupayaan dan kelengkapan unik yang mana majlis-majlis agama dan penyampai khutbah secara langsung kepada orang ramai dari minbar-minbar merupakan salah satu daripada keunikan tersebut".
Selain itu salah guna peluang berharga ini dianggap beliau sebagai kufur nikmat Allah. Sementara itu beliau mengulas tentang sebahagian pihak yang menyalahgunakan minbar dengan berkata, "Sekiranya penyair dan minbar menyebabkan orang ramai berputus asa terhadap masa depan mereka, atau tidak membangkitkan kesedaran mereka terhadap keadaan dan tanggung jawab masyarakat, maka peluang ini menjadi sia-sia belaka".
Pemecah belah dan sektarianisme antara Sunni dan Syiah juga dianggap beliau sebagai realiti kufur nikmat Allah.
"Kita sudah beberapa kali menyatakan bahawa dalam majlis agama hendaklah tidak disertai dengan provokasi mazhab. Ini disebabkan ianya tidak ubah seperti pedang bagi memenuhi hasrat musuh dengan mencerahkan peluang perselisihan di antara umat Islam", kata beliau.
Menyentuh tentang pesanan para cendiakawan muslim tentang perpaduan, beliau berkata, "Kita berbangga bahawa kita adalah Syiah, dan kita berbangga bahawa Imam kita telah memegang panji-panji wilayah di seluruh dunia, dengan itu dunia Islam umumnya Syiah dan bukan Syiah berbangga dengan keislaman mereka. Namun janganlah bertindak secara tidak bermoral sehingga boleh menyebabkan pedang perselisihan pihak musuh diasah menjadi tajam".