Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Tidak sampai sehari pasukan keselamatan Iraq berjaya mengembalikan keamanan di seluruh wilayah Samarra di samping membunuh berpuluh-puluh anggota pengganas Negara Iraq dan Sham (ISIS).
Gabenor Samarra, Ahmad al-Jaburi berkata, "Pasukan keselamatan berjaya membasmi anasir pengganas di seluruh wilayah Samarra yang mana sebelum ini mereka berjaya mengambil alih beberapa kawasannya".
Tambah beliau lagi, "100 pengganas ISIS terbunuh dan lebih dari 20 kenderaan mereka musnah".
Selain itu 11 pengganas ISIS berjaya ditangkap dan pihak berkuasa Iraq mengistiharkan wilayah Samarra bebas sama sekali dari cengkaman pengganas.
Ketua Dewan Waqaf Syi'i, Salih al-Haidari dalam wawancara bersama televisyen al-Iraqiya berkata tujuan utama serangan mengejut ISIS ialah untuk memusnahkan makam Imam Ali al-Naqi dan Imam Hasan al-Askari (a.s). Namun kebanyakan penduduk kota ini memberikan kerjasama penuh kepada askar kerajaan dalam mematahkan percubaan ISIS.
Gerombolan pengganas ISIS cuba menawan kota Samarra pada hari Khamis lalu dengan membawa masuk puluhan kenderaan dan jentolak. Namun tindakan pantas pasukan keselamatan Iraq berjaya menyelamatkan kedua-dua makam tersebut dari dimusnahkan oleh pengganas.















