Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Pergolakan di Tebing Barat semakin meruncing apabila jumlah kematian akibat kempen ketenteraan yang dilancarkan rejim Israel sudah mencecah lebih dari 1650 orang. Sementara itu gerakan Bridgade al-Qassam mengesahkan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai kes kehilangan tentera Israel baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh sayap militan Hamas tersebut pagi tadi, "Kami Brigade al-Qassam tidak mengetahui apa pun mengenai tentera yang hilang dan kedudukannya atau tempat persembunyiannya."
Tambahnya lagi, "Kami terputus hubungan dengan kumpulan mujahidin yang melakukan serang hendap ini dan semua mereka dijangka terkorban dalam pengeboman Zionis termasuk seorang unit yang sedang dicari oleh pihak musuh. Berasaskan tanggapan ini pejuang kami telah menawan seorang tentera musuh ketika bertempur."
Sementara itu tentera Israel mengeluarkan kenyataan bahawa kemungkinan tentera Israel telah diculik pada hari Jumaat ketika kerja-kerja pemusnahan terowong giat dijalankan di Rafah, Selatan Semenanjung Gaza.
Tambah kenyataan itu, tentera tesebut merupakan pegawai tidak bertauliah yang berusia 23 tahun.
Seramai 34 penduduk awam terbunuh pagi hari ini dalam serbuan Israel ke atas Semenanjung Gaza, terutamanya Rafah, menurut jurucakap Palestin.
Jurucakap Kementerian Kesihatan di Gaza, Asraf al-Qudrah, 29 orang rakyat Palestin terbunuh pagi ini akibat serangan berterusan askar Israel. Tambah beliau lagi, 15 orang daripada korban merupakan sebuah keluarga termasuk kanak-kanak berusia antara 3 hingga 12 tahun. Semua mereka terbunuh serta merta apabila rumah yang ditempati musnah dalam serangan terbabit