Agensi berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Kementerian Dalam Negeri berhasrat meminta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi membenarkan intipan komunikasi digunakan sebagai bukti di mahkamah dalam usaha menangani keganasan di negara ini.
Menterinya Datuk Seri Zahid Hamidi berkata, setakat ini intipan komunikasi belum dapat digunakan sebagai keterangan di mahkamah.
Sebagai contoh seorang suspek yang menyumbangkan dana kepada kumpulan militan dan kini berada dalam tahanan polis selama 17 hari lalu memang aktif di media sosial. Namun maklumat itu tidak dapat diajukan sebagai keterangan mahkamah.
"Dia bukan sahaja seorang yang bersimpati, tetapi kita juga tahu dia menyalurkan dana kepada satu kumpulan pengganas yang dikenalinya dan mereka di dalam kumpulannya, tetapi tidak oleh keluarga dan isterinya.
"Sebab itu kita perlu undang-undang pencegahan," katanya pada satu sidang media selepas merasmikan seminar 'Jihad lawan Militan' di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.
Oleh itu, kementeriannya akan mencadangkan kepada Peguam Negara agar undang-undang Sosma dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dipinda supaya langkah yang lebih efektif boleh diambil bagi menghalang rakyat Malaysia terlibat dengan keganasan.
Pada 23 Okt lalu, Bernama melaporkan Polis Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman menahan 40 orang, yang disyaki merancang menyertai kumpulan militan di Syria termasuk merekrut rakyat tempatan untuk kononnya berjihad di Syria, sejak Februari tahun lepas.
Menurut statistik Kementerian Dalam Negeri yang dibentangkan di Dewan Rakyat Selasa lalu, seramai 167 rakyat negara ini terlibat dengan kegiatan militan di luar negara sejak Disember 2001 sehingga kini.
Kesal dengan tindakan segelintir masyarakat Islam, Ahmad Zahid berkata, "Justeru, apabila dikatakan jihad, perkara yang dibayangkan mereka ialah perbuatan menyerang dan melakukan pembunuhan maka ia sebenarnya membawa maksud keganasan. Secara asasnya jihad dalam Islam adalah memerangi golongan Kafir Harbi. Sama ada ia bersifat ofensif ataupun defensif ia bergantung pada situasi."
Ahmad Zahid menyifatkan pergolakan di Iraq dan Syria sebagai krisis peperangan puak antara sesama Islam, dan bukan melibatkan bukan Islam.
1 November 2014 - 12:39
News ID: 648457
Kementerian Dalam Negeri berhasrat meminta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi membenarkan intipan komunikasi digunakan sebagai bukti di mahkamah dalam usaha menangani keganasan di negara ini.