Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Pakar bom militan Jemaah Islamiyah, Taufik Abdul Halim, 39, akan dihantar pulang ke Malaysia hari ini setelah selesai menjalani hukuman penjara lebih 12 tahun di Indonesia.
Pengganas yang dikenali sebagai Dani atau Yuli Mulya Purnomo ini terlepas dari hukuman tembak sampai mati di negara tersebut setelah didapati bersalah terlibat dalam cubaan meledakkan Pusat Beli-belah Plaza Atrium, Jakarta, pada 1 Ogos 2001.
Dalam operasi ganas tersebut, bom yang dibawanya meletup sebelum diletakkan di lokasi sasaran sehingga menyebabkan kaki kanannya terputus.
Menurut sumber, Taufik yang dikatakan bekas ahli Kumpulan Militan Malaysia (KMM) akan diterbangkan ke Malaysia sebelum diserahkan kepada Ibupejabat Polis Bukit Aman untuk siasatan lanjut.
“Dia akan diletakkan di bawah jagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk sementara waktu,” kata sumber ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beberapa akhbar sebelum ini melaporkan Taufik turut terlibat dalam kes pengeboman sebuah pusat beli-belah termasuk dua buah gereja di Timur bandaraya itu.
Nama Taufik mula disebut sebagai dalang kejadian rompakan di Southern Bank Petaling Jaya pada 2001. Faktor rompakan dipercayai mencari dana untuk dikirim kepada kumpulan pengganas di Ambon dan Jakarta.
Sebelum melibatkan diri dalam kegiatan pengganas, Taufik merupakan seorang pelajar cemerlang di Univeristi Teknologi Mara (UiTM) dan aktif dalam gerakan Tabligh bersama keluarganya.
Namun dia dikatakan terjerat dengan kumpulan penganas setelah dipengaruhi abang iparnya, Zulkifli Abdul Khir atau Marwan, yang menjadi pengganas paling dikehendaki di Asia tenggara dan diburu hingga hari ini.
Keluarganya juga mengirim Taufik ke Pakistan untuk belajar agama dan peluang itu dimanfaatkannya untuk melawat kem-kem tentera di Afghanistan dalam rangka mempelajari teknik menggunakan pistol, raifal dan membuat bom.
Sekembali ke Malaysia, Taufik pergi lagi ke Pakistan dan ditangkap oleh pihak berkuasa di sana kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan diserahkan kepada PDRM.
Setelah itu PDRM menahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua bulan.
Taufik dikatakan telah dipengaruhi Zulkifli dan dua pemimpin kanan JI iaitu Abu Bakar Bashir dan Hambali kerana memiliki kepakaran bom. Dia akhirnya secara sukarela menyertai 10 lelaki ahli KMM ke Ambon dan terlibat dalam perjuangan JI bagi menyelamatkan umat Islam yang ditindas oleh puak Kristian di wilayah itu.
Setelah beberapa ketika berada di Ambon, Taufik dan beberapa ahli KMM telah menyusup ke Jakarta dan melakukan siri serangan sehinggalah ditangkap ketika cuba mengebom Pusat Beli-Belah Plaza Atrium.
13 November 2014 - 11:49
News ID: 651178
Pengganas JI, Taufik Abdul Halim, dihantar pulang ke Malaysia hari ini setelah meringkuk dalam penjara lebih 12 tahun di Indonesia.