25 Disember 2014 - 07:12
Demonstrasi protes pembunuhan orang awam masih berlangsung di Amerika

Tanpa menghiraukan perayaan Krismas, penduduk New York terus mengadakan tunjuk perasaan.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Kota New York menyaksikan ribuan penunjuk perasaan turun ke jalan-jalan kerana tidak berpuas hati dengan layanan buruk polis terhadap masyarakat awam.

Gabungan aktivis nasional Amerika dilapor menganjurkan demonstrasi anti polis tersebut tanpa menghiraukan amaran pihak berkuasa, malah mereka dijangka akan mengadakan tunjuk perasaan yang lebih besar di malam tahun baru.

Sejak beberapa minggu lalu, kota-kota di Amerika telah menjadi tempat tunjuk perasaan melepaskan geram masing-masing terhadap beberapa kes pembunuhan masyarakat awam yang melibatkan polis.

Tanpa memperdulikan perayaan Krismas, masyarakat awam terus mengusung sepanduk dan poster sambil menuntut polis yang bersalah dipenjarakan.

Di kota Ferguson, penunjuk perasaan bertempur dengan polis yang lengkap bersenjata. Rusuhan ini juga dilaporkan merebak ke beberapa kota lain.

Mahkamah sebelum ini membebaskan beberapa pegawai polis dari tuduhan membunuh rakyat Amerika berkulit hitam sehingga menyebabkan kemarahan masyarakat awam beberapa minggu lalu.

Antara yang menjadi mangsa kekejaman polis New York ialah:

1. Jordan Baker, 26 tahun ditembak pada 16 Januari lalu.
2. Eric Garner, terbunuh pada 17 Julai di Staten Island.
3. Tamir Rice, 12 tahun dibunuh pada 22 November.

Dua hari lalu pihak juri mahkamah Harris County Criminal Justice Center enggan mendakwa pegawai polis, Juventino Castro yang menembak mati Jordan Baker dalam keadaan berpakaian uniform ketika diluar waktu bertugas.

Berasaskan statistik yang tersebar, lebih 3100 orang terbunuh di tangan polis sejak tahun 2000. Statistik rasmi FBI pula menunjukkan risiko remaja kulit hitam dibunuh polis adalah 21 kali ganda dari remaja kulit putih.

...............