2 Januari 2015 - 22:33
Tuntutan rakyat Bahrain sah menurut piagam antarabangsa

Tuntutan rakyat Bahrain adalah sah menurut piagam antarabangsa dan rejim Al Khalifah diingatkan agar tidak menuruti jejak langkah diktator-diktator seperti Shah Reza Pahlavi, Hosni Mubarak dan penjahat-penjahat serantau sebelum terlambat.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Hujjatul Islam Kazim Sadeghi dalam khutbah Jumaat kelmarin berkata, "Kuasa angkuh global cuba menyerang jiwa dan maruah anda, revolusi dan autoriti yang menjadi kehormatan kamu menjadi sasaran dan ancaman."

Sambil menyentuh tentang golongan Takfiri dan kerajaan boneka di Timur Tengah, beliau mengulas, "Mereka ini adalah syaitan yang memberikan laluan (kepada kuasa angkuh global). Kita perlu menghadapi musuh luar dengan serius sehingga mereka bertambah sengsara dari aspek kefakiran, wabak dan kesakitan. Setiap pangkal kepala musuh ada Nafsu Amarah yang tidak boleh kita lupakan."

Sambil mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul, beliau memberi amaran kepada bangsa Arab, "Di gurun sahara yang anda tinggal ini terdapat ular-ular yang berbahaya, air minuman anda sudah tercemar. Suatu ketika dahulu kamu adalah golongan pengganas, kejam, penumpah darah dan pencabul kehormatan. Kamu tidak mempunyai budaya, undang-undang, kasih sayang, kewarasan dan pedoman. Nabi Islam (s.a.w) membawa segala-galanya kepada kamu. Nabi (s.a.w) tidak menitikberatkan etnik sesama Arab, bahkan menjalinkan interaksi antara Arab dan non Arab. Dalam kubu perpaduan, berbagai kemenangan luar biasa telah diraih. Nabi (s.a.w) membawa akhlak dan ilmu pengetahuan yang sebelum ini tidak ada di dalam lingkungan pengalaman manusia. Insan sempurna terdidik dalam martabat gemilang Nabi (s.a.w). Kita berhadap, semua orang menepati ucapan La Ilaha Illallah dan kita perlu tahu bahawa perpaduan membawa kegembiraan Nabi (s.a.w)."

Beliau mengakhiri khutbah dengan mengulas tentang penangkapan Setiausaha Agung Parti al-Wefaq, Sheikh Salman dan berkata, "Perbuatan ini tidak sah di sisi undang-undang dan mencabar isu kemanusiaan. Kita memberi amaran kepada kerajaan Bahrain, bahawa tuntutan rakyatnya dalam memperolehi hak yang diperjuangkan adalah sah menurut piagam-piagam antarabangsa. Lebih baik jangan diturut jejak langkah Shah Pahlavi, Hosni Mubarak dan penjahat-penjahat serantau sebelum terlambat."