10 Januari 2015 - 19:07
Pengganas ISIS bunuh 5 penduduk awam Syria

Pengganas ISIS bunuh 5 penduduk awam Syria di Aleppo.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Dengan tangan dan mata terikat, lima penduduk Syria dibunuh di Aleppo dalam satu lagi siri kekejaman pengganas ISIS semalam.

Tiga mangsa dituduh bekerjasama dengan askar kerajaan, seorang lagi dibunuh kerana menganut mazhab Ismailiyah manakala seorang lagi didapati bekerja sebagai peguam.

Gambar-gambar yang tersebar akaun penyokong ISIS menunjukkan tiga orang diikat matanya dan pertuduhan "memberikan maklumat kepada askar kerajaan" dibaca sebelum ditembak dari arah belakang.

Tanpa memperincikan kesalahan seorang peguam Syria dipancung dengan parang di hadapan penduduk dengan tangan dan mata yang terikat. Walau pun tidak menyatakan kesalahannya, pengganas dipercayai ingin mewujudkan ketakutan di kalangan penduduk Aleppo.

Setelah itu seorang warga tua turut dibunuh dengan kejam kerana menganut mazhab Ismailiyah kerana akidah fahaman Wahhabi yang dianuti ISIS mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak sealiran dengannya. Mata orang tua tersebut diikat dengan serban merah dan ditembak sehingga mati.

Ismailiyah merupakan satu aliran Syiah yang menganggap Imamah setelah Imam Ja'far Sadiq (a.s) adalah anaknya yang bernama Ismail atau cucunya Muhammad bin Ismail. Aliran ini mempunyai banyak gelaran antaranya Batiniyah, Ta'limiyah, Hashishiyah dan Mullahidah, namun yang paling terkenal ialah Batiniyah dan Ta'limiyah.

Pengikut aliran Isma'iliyah membentuk populasi satu peratus dari 22 juta penduduk Syria.