
Perdana Menteri England Theresa May menyampaikan ucapan di PBB, September 2016. Foto oleh AFP
Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Perdana Menteri Czech telah menggesa rakan sejawatannya dari England, Theresa May supaya mengambil setiap langkah yang perlu bagi mengatasi keganasan terhadap rakyatnya dan warganegara Kesatuan Eropah yang lain yang dilaporkan semakin meningkat berikutan keluarnya kerajaan England daripada pakatan tersebut.
"Kerajaan Czech mendapati keganasan dan layanan kelas kedua ke atas rakyatnya dikeranakan kerakyatan mereka sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima sama sekali," kata Bohuslav Sobotka kepada May melalui perbualan telefon yang dibuat Khamis lepas.
"Oleh sebab itu, saya meminta Perdana Menteri... untuk menjelaskan kepada kami tentang langkah yang akan diambil oleh kerajaan beliau di dalam menangani serangan sebegini," tambah beliau.
Perdana Menteri Czech itu juga mengatakan bahawa beliau agak "terganggu dengan peningkatan serangan yang berasaskan kebencian di Britain terhadap warga negara Kesatuan Eropah".
Pihak berkuasa Czech melaporkan bahawa seramai 37000 warga negara tersebut bekerja di UK pada tahun lepas.
Panggilan telefon itu dibuat selepas seorang warga Czech yang berusia 31 tahun yang dikenalpasti sebagai Zdenek Makar terbunuh di dalam sebuah pergaduhan yang berlaku di London minggu lepas. Pihak Polis British telah menahan 3 orang lelaki dan menuduh salah seorang daripada mereka dengan kesalahan membunuh.
Laporan tersebut datang selepas insiden yang meragut nyawa seorang warga negara Poland yang dipukul sehingga mati di Harlow yang terletak di Utara London. Kejadian itu berlaku pada akhir bulan Ogos yang lalu. Dua lagi warga negara Poland juga dilaporkan diserang di bandar yang sama pada awal bulan ini.
Menurut Kedutaan Poland, sebanyak 31 insiden yang melibatkan rakyatnya telah dilaporkan semenjak 23 Jun. Jumlah itu termasuk 8 buah insiden yang dilaporkan sepanjang 3 minggu lepas.
Di dalam sebuah laporan yang diterbitkan oleh Majlis Ketua Polis Kebangsaan U.K (NPCC), sebanyak 3000 insiden yang melibatkan jenayah yang berasaskan kebencian telah dilaporkan di seluruh Britain sepanjang 16 Jun hingga 30 Jun. Sekaligus menunjukkan peningkatan sebanyak 42 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2015.
Jenayah berasaskan kebencian adalah kesalahan yang bermotivasikan sentimen prejudis terhadap seseorang kerana ciri-ciri peribadi mangsa.
Para penganalisis mengaitkan peningkatan jenayah tersebut kepada sentimen anti EU yang memuncak sebelum dan selepas referendum "Brexit" yang menyaksikan rakyat Britain memilih untuk keluar daripada pakatan itu.
Sebanyak 52 peratus warga British mengundi untuk keluar daripada blok tersebut pada 23 Jun lepas.