
Mejar Jeneral angkatan tentera Quds Iran, Qasem Soleimani menyampaikan ucapannya di Tehran pada 5 Oktober di dalam majlis memperingati Brigadier Jeneral Hossein Hamedani yang terbunuh di Syria pada tahun lepas di tangan pengganas. Foto oleh Farsnews.
Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Jeneral Qassem Soleimani berkata bahawa ISIS dan kumpulan Takfiri yang lain telah dicipta untuk melemahkan Republik Islam Iran.
Pemimpin tentera Quds yang merupakan cabang angkatan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) membuat kenyataannya di Tehran pada Rabu lepas di dalam majlis memperingati Brigadier Jeneral Hossein Hamedani yang terbunuh di Syria pada tahun lepas di tangan pengganas.

Hossein Hamedani
Pegawai tinggi IRGC itu terbunuh di tangan ISIS di dalam sebuah misi yang disertainya di pinggir bandar Aleppo. Beliau dilaporkan memainkan peranan penasihat di dalam operasi tersebut.
"Kumpulan pengganas ISIS dan Takfiri tidak dicipta untuk berperang dengan Syria (semata-mata), mereka sebenarnya di wujudkan untuk kemudian disasarkan kepada Republik Islam Iran." kata beliau.
Beliau juga menambah bahawa tentera Iran yang banyak memainkan peranan penasihat di Syria, bukan sahaja mempertahankan negara Arab tersebut bahkan juga Iran dan dunia Islam secara keseluruhan.
"Kerajaan Syria dengan bantuan Iran telah mampu untuk bertahan menghadapi tekanan dan juga pengepungan selama 5 tahun sehingga dunia (mempunyai masa untuk berfikir dan) mengakui bahawa kesemua kumpulan ini adalah pengganas," tambah beliau lagi.
Soleimani juga mengatakan bahawa tanpa bantuan Iran dan perlawanan yang dibuat oleh kerajaan Syria, seluruh rantau ini pasti sudah dilanda musibah yang dibawa oleh kumpulan Takfiri ini.
"Hari ini, (kumpulan) Takfiri sudah ditewaskan di seluruh perbatasan," kata pemimpin IRGC itu yang kemudiannya menambah, "Saya percaya bahawa rakyat Syria adalah kuat dan kebal jika mereka menyokong kerajaan mereka sendiri."
Beliau juga dipetik sebagai berkata bahawa Kesatuan Eropah (EU) kini sedang membayar harga yang tinggi dari aspek keselamatan kerana menyokong para pengganas di Syria.
Syria semenjak Mac 2011 telah menyaksikan keganasan yang dibawa oleh kumpulan pengganas dan militan yang disokong oleh kerajaan asing seperti Turki, Qatar, dan Arab Saudi.