5 November 2016 - 14:39
Puluhan Ribu Sertai Tunjuk Perasaan Di Seoul Desak Presiden Korea Selatan Letak Jawatan.

Puluhan ribu rakyat Korea Selatan sertai sebuah tunjuk perasaan di pusat bandar Seoul pada hari Sabtu untuk mendesak Presiden Park Geun-hye meletakkan jawatan berikutan kes penyalahgunaan kuasa yang melibatkan rakan lamanya, Choi Soon Sil.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Puluhan ribu rakyat Korea Selatan sertai sebuah tunjuk perasaan di pusat bandar Seoul pada hari Sabtu untuk mendesak Presiden Park Geun-hye meletakkan jawatan berikutan kes penyalahgunaan kuasa yang melibatkan rakan lamanya, Choi Soon Sil.

Menurut pihak polis, seramai 43000 orang telah menyertai tunjuk perasaan tersebut. Akan tetapi, pihak penganjur pula mendakwa bahawa seramai 100000 orang peserta telah megambil bahagian di dalam protes itu sekaligus menjadikannya salah sebuah tunjuk perasaan yang terbesar di negara tersebut semenjak tahun 2008 apabila para penunjuk perasaan membantah import daging dari A.S.

Kebelakangan ini, Presiden Park Geun-hye telah diselubungi oleh skandal yang mendakwa bahawa rakan lamanya telah menggunakan keakraban di antara mereka untuk mencampuri urusan-urusan kerajaan. Park Geun-hye sebelum ini berjanji bahawa beliau akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak pendakwa di dalam proses siasatan yang berkaitan.

Skandal itu menyebabkan populariti Presiden Korea Selatan itu menjunam ke angka 5% sekaligus menjadikannya yang terendah bagi seorang presiden negara tersebut sejak tahun 1988.

Pihak polis berkata bahawa mereka telah menugaskan seramai 17600 orang pegawai dan 220 unit termasuklah bas dan hadangan bergerak untuk mengawal protes tersebut pada hari Sabtu.

Setakat ini tiada seorangpun presiden Korea Selatan yang gagal menamatkan penggal 5 tahun mereka, tetapi Park kini berhadapan dengan massa dan pembangkang yang mahukan beliau berundur.