7 November 2016 - 09:45
Rusuhan Di Penjara Britain; Lebih 200 Banduan Terlibat.

Polis Britain berjaya menyuraikan rusuhan di penjara membabitkan kira-kira 200 banduan yang tercetus beberapa hari selepas persatuan pengawal penjara memberi amaran tentang kemungkinan berlakunya insiden 'mandi darah' di penjara-penjara di negara itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Polis Britain berjaya menyuraikan rusuhan di penjara membabitkan kira-kira 200 banduan yang tercetus beberapa hari selepas persatuan pengawal penjara memberi amaran tentang kemungkinan berlakunya insiden 'mandi darah' di penjara-penjara di negara itu.

Polis, ambulans dan bomba dipanggil ke penjara di Bedford yang terletak di tengah England pada kira-kira jam 5 petang waktu tempatan pada hari Ahad selepas rusuhan mula tercetus.

Setelah lebih enam jam kemudian jurucakap penjara tersebut mengumumkan bahawa insiden itu telah berjaya ditangani oleh para pegawai penjara dan pihak perkhidmatan kecemasan.

"Siasatan ke atas insiden ini akan dijalankan. Jelas bagi kami bahawa para banduan yang terlibat akan dihukum dan mungkin akan kekal di dalam penjara untuk tempoh yang lebih lama," kata jurucakap itu.

Setiausaha Agung Persatuan Pegawai Penjara (POA), Steve Gillan menganggarkan sehingga 200 banduan terbabit di dalam insiden tersebut.

"Pengawal penjara yang berada di tempat kejadian sudah dibawa ke tempat selamat, jadi banduan berkeliaran dalam jumlah yang besar," kata Steve.

2 orang banduan dilaporkan mengalami kecederaan di dalam insiden itu. Pihak Kementerian Kehakiman juga mengatakan bahawa tiada pegawai penjara yang dilaporkan cedera.

Bulan lalu, seorang banduan berusia 21 tahun ditikam mati di penjara Pentonville, London.