12 November 2016 - 16:23
Pelan Penukaran Rejim Di Syria Perlu Ditinggalkan: Trump.

Donald Trump mengesahkan bahawa beliau akan memansuhkan polisi pentadbiran Obama berkaitan isu di Syria.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Donald Trump mengesahkan bahawa beliau akan memansuhkan polisi pentadbiran Obama berkaitan isu di Syria. "Saya memiliki pandangan yang berbeza dengan ramai orang berkaitan Syria," kata ahli parti Republikan yang berusia 70 tahun di dalam sebuah temu bual dengan Wall Street Journal.

Sejak permulaan perang Syria, polisi luar Barrack Obama memfokuskan kepada menyokong dan melatih apa yang dipanggil sebagai pemberontak 'sederhana' yang sepatutnya mengalahkan ISIS dan kemudiannya menggulingkan Assad. Pendekatan telah menemui jalan buntu apabila Washington gagal memenuhi tanggungjawabnya di bawah perjanjian dengan Moscow untuk memisahkan pemberontak 'sederhana' (tajaan mereka) daripada kumpulan pemberontak yang dikenali sebagai pengganas di peringkat antarabangsa.

Trump berkata bahawa A.S perlu memfokuskan usahanya di dalam membenteras kumpulan pengganas dan meninggalkan pelan asal Washington untuk menukar rejim di Syria.

"Pandangan saya adalah, kamu memerangi Syria. Syria pula memerangi ISIS dan kamu sepatutnya membasmi ISIS. Rusia kini bersekutu dengan Syria dan Iran juga ada di sini. Iran kini yang semakin kuat kerana (tindakan) kita sendiri juga telah bersekutu dengan Syria. Sekarang kita menyokong para pemberontak melawan Syria sedangkan kita tidak kenal siapa mereka ini," kata beliau juga.

Banyak sumber melaporkan bahawa senjata yang dibekalkan A.S kepada pemberontak yang bersekutu dengannya jatuh ke tangan ISIS. Senjata ini kemudiannya digunakan untuk menyerang posisi orang awam dan tentera Syria.

Presiden yang baru dipilih itu juga memberi amaran bahawa tindakan memerangi Assad boleh mencetuskan konfrontasi di antara Washington dan Moscow.