Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Tentera Arab Syria dan sekutunya dilaporkan sedang bersiap-sedia untuk melancarkan operasi besar-besaran dalam usaha membebaskan daerah timur Aleppo daripada cengkaman kumpulan-kumpulan pengganas.
Menurut pakar-pakar Arab, hampir 7000 militan masih berada di kawasan timur Aleppo yang dikuasai oleh pelbagai kumpulan militan.
Pada hari Khamis lepas, tentera Syria telah melancarkan serangan artileri ke atas posisi pihak musuh yang berkubu di kejiranan Tariq al-Bab, Salikhin, Shaar dan Es Sukkar di mana garisan pertahanan pertama pengganas ditempatkan.
Pengeboman itu dilancarkan sejurus selepas jet-jet pejuang Syria menyasarkan hub-hub lojistik para militan di Khan al-Asal, Kafr Hamra dan Haraytan.
Para militan juga dilaporkan telah kehilangan banyak kenderaan berperisai mereka termasuk kenderaan pacuan 4 roda yang dilengkapi dengan mesingan berat. Tentera Udara Syria juga telah memusnahkan sebuah pusat perintah milik Jaish al-Fath yang terletak di timur Aleppo.
Di dalam beberapa siri serangan udara, pasukan kerajaan berjaya menghancurkan beberapa buah ibu pejabat kumpulan pengganas Jabhat Fateh al-Sham yang sebelum ini dikenali sebagai al-Nusra. Ibu pejabat-ibu pejabat tersebut dilaporkan terletak di utara Aleppo.
Buat masa ini, pasukan elit tentera Syria telah berkumpul di 9 buah lokasi penting di sekitar bandar itu dan mereka menanti arahan untuk membersihkan kawasan-kawasan yang masih dikuasai oleh para pengganas.
Para saksi juga memberitahu bahawa situasi di Aleppo masih belum stabil rentetan kekacauan sivil yang memaksa para militan memperketatkan kawalan mereka ke atas masjid-masjid.
Para penduduk awam dilaporkan berang dengan tindakan pengganas yang tidak membenarkan mereka meninggalkan kawasan yang dikuasai pengganas dengan menggunakan koridor kemanusiaan yang disediakan oleh tentera kerajaan. Mereka juga membantah tindakan pengganas yang menjadikan orang awam perisai manusia untuk melindungi para militan.
19 November 2016 - 17:13
News ID: 792980
Tentera Arab Syria dan sekutunya dilaporkan sedang bersiap-sedia untuk melancarkan operasi besar-besaran dalam usaha membebaskan daerah timur Aleppo daripada cengkaman kumpulan-kumpulan pengganas.