13 Disember 2016 - 12:59
Polis AS Tembak Mati Lelaki 73 Tahun Yang Mengalami Demensia

Polis Negeri California di Amerika Syarikat dilaporkan telah menembak mati seorang lelaki berketurunan Latin Amerika yang dikatakan menghidapi penyakit demensia.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Polis Negeri California di Amerika Syarikat dilaporkan telah menembak mati seorang lelaki berketurunan Latin Amerika yang dikatakan menghidapi penyakit demensia. 

Francisco Serna yang berusia 73 tahun dilaporkan berdiri di sebuah jalan masuk ke rumah jirannya di Bakersfield pada hari Isnin ketika seorang polis yang berada di situ menembaknya sehingga mati. Anggota polis tersebut ditugaskan ke kawasan itu untuk memberikan respon kepada sebuah panggilan yang dibuat sebelumnya berkenaan kehadiran seorang lelaki bersenjata di kawasan tersebut,

Sarjan Gary Carruesco memberitahu Los Angeles Times bahawa pegawai polis yang bertugas telah menembak Serna beberapa kali setelah saksi menuduh lelaki malang itu sebagai suspek di dalam laporan sebelumnya.

Sarjan Carruesco juga mengesahkan bahawa tiada sebarang senjata api ditemui setelah pencarian dibuat di kawasan itu.

Menurut pejabat Polis Bahagian Bakersfield, pegawai yang membunuh Serna kini diletakkan di bawah cuti pentadbiran memandangkan kes itu sedang disiasat oleh pihak terbabit.

Menurut anak lelaki Serna, Rogelio, mangsa adalah seorang pesara yang sering mengalami delusi (salah satu daripada petanda awal bahawa seseorang itu menghidapi penyakit demensia). Dia juga menegaskan bahawa bapanya itu tidak memiliki sebarang senjata api.

Keluarga Serna juga berkata bahawa mangsa sering berjalan keluar dalam upaya meletihkan dirinya sendiri supaya lebih mudah tidur.

Sebelum ini, laporan-laporan berkaitan penggunaan kekerasan yang berlebihan oleh pihak berkuasa ke atas kumpulan-kumpulan minoriti telah mencetuskan kemarahan orang awam di Amerika Syarikat.

Menurut sebuah laporan yang dikeluarkan baru-baru ini, hampir 70 peratus daripada masyarakat Latin Amerika di A.S telah menjadi mangsa di dalam kes yang berkaitan diskriminasi kaum. Angka itu menunjukkan peningkatan 2 kali ganda daripada apa yang dilaporkan pada 10 tahun lepas.