18 Disember 2016 - 18:13
Britain Sumber Kejahatan Di Timur Tengah: Ali Khamenei

Menurut Pemimpin Tertinggi Iran, Syed Ali Khamenei, kerosakan yang dibawa oleh Britain ke atas rantau Timur Tengah sepanjang ratusan tahun ini 'tidak boleh dibandingkan dengan (kerosakan yang dibawa oleh) pihak yang lain'.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Menurut Pemimpin Tertinggi Iran, Syed Ali Khamenei, kerosakan yang dibawa oleh Britain ke atas rantau Timur Tengah sepanjang ratusan tahun ini 'tidak boleh dibandingkan dengan (kerosakan yang dibawa oleh) pihak yang lain'. Beliau juga menambah bahawa London selama ini sibuk mencetuskan konflik di rantau tersebut dan adakalanya 'memaksa beberapa bangsa untuk meninggalkan tanah air mereka' secara keseluruhan.

"Selama beratus tahun, Britain selalu menjadi sumber kejahatan di kalangan negara-negara yang ada di rantau kami. Pukulan-pukulan yang disasarkan oleh pihak Britain ke atas nyawa para tetangga kami tidak boleh dibandingkan dengan pihak lain." kata beliau pada hari Sabtu.

Beliau juga menambah dengan berkata bahawa Iran bukanlah satu-satunya negara yang menjadi mangsa kejahatan Britain. Akan tetapi Pakistan dan Palestin turut tidak terlepas daripada kejahatan itu.

Beliau juga mengecam tindakan Britain yang menuduh negara Iran sebagai ancaman kepada rantau tersebut. Komen tersebut dibuat setelah Perdana Menteri Britain, Theresa May menuduh Iran sebagai ancaman kepada rantau Timur Tengah pada minggu lepas.