1 Januari 2017 - 19:48

Pihak Rusia telah mengesahkan bahawa para diplomat mereka yang diusir dari Amerika Syarikat telah menaiki sebuah pesawat khas dan mereka sedang dalam perjalanan pulang ke negara itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pihak Rusia telah mengesahkan bahawa para diplomat mereka yang diusir dari Amerika Syarikat telah menaiki sebuah pesawat khas dan mereka sedang dalam perjalanan pulang ke negara itu.

Seorang jurucakap kedutaan Rusia di Amerika Syarikat pada hari Ahad berkata para diplomat mereka yang sebelum ini dituduh mengintip di negara tersebut dan kemudiannya diarahkan untuk meninggalkan A.S, telahpun berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dulles di Washington dan sedang menuju ke Moscow. "Pesawat itu telahpun berlepas," kata Nikolai Lakhonin.

Moscow sebelum itu telah menghantar sebuah pesawat khas untuk mengeluarkan para diplomat Rusia berserta dengan ahli keluarga mereka dari A.S. 35 orang petugas tersebut diarahkan pulang oleh Presiden Barrack Obama di atas pertuduhan mengintip bagi pihak Rusia. Kes tersebut didakwa mempunyai kaitan dengan serangan siber terhadap individu tertentu di dalam parti Demokrat ketika pilihan raya 2016. Rusia menafikan penglibatan mereka di dalam serangan itu sekeras-kerasnya sambil meminta A.S untuk mengemukakan bukti ke atas pertuduhan itu.