13 Januari 2017 - 17:06
Di Ambang Kejatuhan? Masalah Yang Dihadapi EU Sekarang Lebih Mencabar Berbanding Dahulu

Alastair Newton, pengarah syarikat Alavan Business Adviosry dan juga bekas diplomat Britain memberitahu Sputnik bahawa Kesatuan Eropah kini dibelenggu dengan lebih banyak isu berbanding dengan apa yang pernah mereka hadapi sebelum ini.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Alastair Newton, pengarah syarikat Alavan Business Adviosry dan juga bekas diplomat Britain memberitahu Sputnik bahawa Kesatuan Eropah kini dibelenggu dengan lebih banyak isu berbanding dengan apa yang pernah mereka hadapi sebelum ini.

Sebelum ini Naib canselor Jerman memberitahu majalah Der Spiegel bahawa perpecahan Kesatuan Eropah bukan lagi sesuatu yang tidak boleh dibayangkan.

Beliau juga memberitahu bahawa pembayar cukai Jerman kini terpaksa membayar kegagalan beberapa negara Eropah yang lain dan di dalam masa yang sama, Canselor Merkel pula sibuk memperkenalkan langkah-langkah penjimatan yang menyebabkan negara-negara di dalam kesatuan itu lebih berpecah-belah.

Sigmar Gabriel turut memberitahu wartawan Der Spiegel bahawa tekanan yang dikenakan oleh Berlin ke atas Paris dan Itali turut mewujudkan risiko politik yang lain seperti kebangkitan parti berhaluan kanan.

Komen beliau itu dibuat pada ketika Merkel terpaksa berhadapan dengan kritikan keras berkaitan polisi pendatang asing yang dilaksanakan oleh pentadbirannya. Sigmar Gabriel yang juga menteri ekonomi dijangkakan akan mencabar Merkel di dalam pilihan raya yang akan datang.

Apabila ditanya sama ada EU benar-benar berada di ambang perpecahan, Newton dengan merujuk kepada dua peristiwa mengejut yang berlaku pada tahun lepas; Brexit dan kemenangan Trump di dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat, mengatakan bahawa peristiwa itu mungkin akan menyebabkan kejatuhan blok tersebut.