21 Januari 2017 - 14:22
Lapangan Terbang Antarabangsa Akan Dibina Di Karbala

Pihak pengurusan Makam Imam Hussein telah menandatangani sebuah kontrak dengan firma pembinaan Britain bernama Couberjais dan sebuah firma pembinaan tempatan, Er-Ridha untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa Karbala.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pihak pengurusan Makam Imam Hussein telah menandatangani sebuah kontrak dengan firma pembinaan Britain bernama Couberjais dan sebuah firma pembinaan tempatan, Er-Ridha untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa Karbala.

Objektif utama pembinaan lapangan terbang itu adalah untuk memudahkan para penziarah melawat Makam Imam Hussein dari seluruh dunia.

Ketua jurutera di Makam Imam Hussein berkata bahawa lapangan terbang itu akan mempunyai kapasiti untuk menerima dan melayan 2 juta orang pelawat dan tempoh pembinaannya dijangka akan mengambil masa selama 18 bulan.

Sebelum ini, sebuah firma Perancis, ADBI dilaporkan telahpun menyiapkan reka bentuk lapangan terbang tersebut. Fasiliti itu dikatakan akan dilengkapi dengan landasan kapal terbang yang terpanjang di seluruh Iraq.

Lapangan terbang yang akan memudahkan para pelawat untuk menziarahi Makam Imam Hussein, juga dijangka akan menjadi pemangkin kepada ekonomi tempatan. Ini kerana, fasiliti itu akan menjana aktiviti ekonomi dan juga mencipta peluang pekerjaan bagi ratusan penduduk tempatan secara khusus.