30 Januari 2017 - 17:29
OIC Kecam Sekatan Imigresen A.S

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) telah mengecam keputusan Presiden Donald Trump yang melarang rakyat dari 7 buah negara Islam untuk memasuki Amerika Syarikat sambil berkata bahawa tindakan itu akan hanya menyemarakkan keganasan dan pemahaman radikal.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) telah mengecam keputusan Presiden Donald Trump yang melarang rakyat dari 7 buah negara Islam untuk memasuki Amerika Syarikat sambil berkata bahawa tindakan itu akan hanya menyemarakkan keganasan dan pemahaman radikal.

Pertubuhan yang mewakili 57 buah negara itu pada hari Isnin berkata sekatan imigresen itu akan disalah guna oleh mereka yang melakukan keganasan di atas nama agama Islam untuk mencapai tujuan mereka.

"Tindakan itu akan memberikan alasan (kepada para ekstremis) untuk melakukan keganasan di saat yang kritikal di mana OIC sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak... untuk memerangi ekstremisme dan keganasan dalam apa bentuk sekalipun," baca kenyataan itu. Mereka turut mengatakan keputusan itu bersifat berat sebelah dan selektif.

Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas Presiden A.S mengarahkan sekatan imigresen selama 90 hari kepada warga negara Iran, Iraq, Syria, Libya, Somalia, Sudan dan Yaman. Langkah yang mencetuskan protes dalaman di negara A.S itu turut merangkumi sekatan kepada pelarian selama 120 hari.

Sekatan itu setakat ini telah mengundang kritikan daripada pelbagai pihak termasuk Canselor Jerman sendiri yang mengatakan perang ke atas keganasan bukanlah alasan untuk melaksanakan langkah drastik tersebut.