Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Lebih 200 peserta perhimpunan berkumpul di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara membantah sekatan dilakukan Presiden Donald Trump terhadap rakyat 7 negara Islam. Kumpulan itu disertai pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan NGO menuntut sekatan sementara ditarik balik serta-merta kerana langkah mengaitkan Islam dengan keganasan adalah salah dan rasis.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata tindakan Trump menyekat rakyat dari negara Islam memasuki AS bukannya untuk menentang kumpulan militan IS sebaliknya bertindak rasis terhadap umat Islam.
“Seluruh dunia membantah termasuk di Eropah, semua menentang apa yang dilakukan Trump. “Trump bukan nak melawan IS tetapi menentang hak asasi. Apa yang dilakukan Trump merupakan satu perundangan yang paling mencelakakan kehidupan manusia. Dahulu AS merupakan negara paling demokratik tapi dirosakkan Trump,” katanya semasa berucap di perkarangan Kedutaan AS.
Mat Sabu dalam ucapannya, mempersoalkan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang membisu berhubung tindakan Trump. “Malaysia perlu kekalkan negara berkecuali, jangan terlibat menyerang Yaman, sekarang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) membuktikan Malaysia terlibat menyerang Yaman.
“Zaman Tun Abdul Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad memperjuangan Malaysia sebagai negara berkecuali, tapi Najib bawa negara kita ke Arab, seolah-olah mengundang IS datang ke Malaysia,” katanya.
Kumpulan itu turut menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Kedutaan AS yang diwakili Mat Sabu, Ketua Setiausaha Sekretariat PH Datuk Saifuddin Abdullah, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua dan Howard Lee wakil Pemuda DAP.
Antara pemimpin yang hadir, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, Dyana Sofya Mohd Daud, Datin Paduka Marina Mahathir, Nik Nazmi Nik Ahmad dan beberapa lagi pemimpin PH serta wakil NGO.
Trump pada Jumaat lalu melaksanakan sekatan kemasukan 90 hari terhadap rakyat Iraq, Iran, Somalia, Syria, Libya, Sudan dan Yaman untuk membendung “keganasan Islam radikal”, serta menggantung program pelarian selama 120 hari.
Oleh: Faiz Zainuddin