Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Para pemimpin Iraq kini berusaha mengawal situasi buruk yang timbul sehari selepas pertembungan di antara para pengikut seorang ulama terkenal di negara itu dengan pihak polis di Baghdad. Pertembungan itu menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh.
Ulama terkenal, Muqtada al-Sadr menyeru pengikutnya untuk meninggalkan medan utama di Baghdad di mana mereka telah berkumpul untuk menuntut pihak kerajaan untuk melakukan perubahan politik di negara itu.
"Jika ada salah seorang daripada pengikut saya yang menggunakan kekerasan, tidak mengalah atau terlibat di dalam tindakan sabotaj dalam rangka meletakkan situasi keselamatan di Baghdad dalam bahaya, saya menolaknya," tulis beliau di dalam akaun Twitter-nya.
Perdana Menteri Haider al-Abadi pula telah mengarahkan pihak terbabit untuk menyiasat dakwaan kumpulan pro-Sadr yang mengatakan bahawa seramai 8 orang penunjuk perasaan terbunuh dan 300 yang lain pula mengalami kecederaan di dalam insiden tersebut.
Protes yang bermula dengan aman itu bertukar menjadi ganas apabila sebahagian daripada para peserta cuba untuk melepasi kon keselamatan yang diletakkan di jalan masuk utama ke kawasan hijau di Baghdad.
Para penunjuk perasaan menuntut kerajaan untuk mengubah peraturan pilihan raya sedia ada. Menurut mereka, undang-undang sedia ada dibuat untuk memihak kepada parti utama Iraq yang terlibat di dalam amalan nepotisme dan penyalahgunaan kuasa.
/315