Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata bahawa negaranya tidak berhasrat untuk melakukan campur tangan di dalam urusan dalaman negara Arab Syria. Akan tetapi beliau menyatakan bahawa kerajaannya mahu menstabilkan kerajaan sah yang memerintah negara Arab itu melalui operasi ketenteraan mereka di sana.
"Tugas kami adalah berusaha untuk menstabilkan kerajaan sah yang wujud di negara itu dan dalam masa yang sama memberikan tamparan hebat kepada gerakan keganasan antarabangsa," kata Putin pada hari Khamis ketika bertemu dengan para pegawai yang baru pulang dari Syria.
Pemimpin Rusia itu turut menyatakan harapannya untuk melihat kejayaan di dalam mengembalikan keamanan ke negara itu melalui usaha diplomatik.
"Peluang masyarakat antarabangsa untuk menamatkan wabak keganasan di Syria akan menjadi lebih cerah jikat negara Arab itu berjaya menemui penyelesaian politik dalam masa yang terdekat," kata beliau.
Putin turut memuji peranan yang dimainkan oleh angkatan tentera laut negaranya dalam memerangi keganasan di Syria. Kenyataan itu ditujukan khas kepada armada utara negara itu yang diketuai oleh kapal pengangkut Laksamana Kuznetsov. Armada itu sebelumnya berjaya melancarkan operasi yang berkesan di bumi Syria dalam rangka melemahkan aktiviti kumpulan pengganas.
"Kalian telah berjaya menunaikan tanggungjawab yang telah diberikan kepada kalian sekaligus mengakibatkan kemusnahan yang signifikan ke atas kumpulan pengganas antarabangsa melalui operasi pengeboman yang menyasarkan kubu, depot senjata, perkakasan dan kelengkapan mereka," kata beliau lagi.
Menurut Putin, strategi Rusia di Syria telah membantu secara langsung di dalam meningkatkan tahap keselamatan di negaranya. Beliau turut memberi amaran tentang bahaya yang dibawa oleh anggota asing kumpulan Daesh ke atas keselamatan negara Rusia.
Menurut badan perisikan Rusia, sekita 4000 hingga 5000 orang rakyat kepada negara-negara bekas Kesatuan Soviet berperang bersama-sama Daesh di Syria.
Moscow melancarkan operasi ketenteraan mereka di Syria berikutan permintaan yang dibuat oleh Damsyik yang merupakan sekutu lama negara tersebut.
23 Februari 2017 - 20:25
News ID: 813701
Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata bahawa negaranya tidak berhasrat untuk melakukan campur tangan di dalam urusan dalaman negara Arab Syria. Akan tetapi beliau menyatakan bahawa kerajaannya mahu menstabilkan kerajaan sah yang memerintah negara Arab itu melalui operasi ketenteraan mereka di sana.