25 Februari 2017 - 13:35
Israel Nafi Permit Kerja Penyelidik Hak Asasi Manusia

Israel menafikan permit kerja untuk penyelidik pertubuhan Human Rights Watch (HRW) kerana menganggap kumpulan itu terbabit dalam 'perkhidmatan propaganda Palestin'.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Israel menafikan permit kerja untuk penyelidik pertubuhan Human Rights Watch (HRW) kerana menganggap kumpulan itu terbabit dalam 'perkhidmatan propaganda Palestin'.

HRW menyifatkan tindakan itu berpunca daripada ketidakupayaan Israel membezakan antara kritikan sewajarnya dan propaganda bermusuhan.

"Pihak berkuasa Israel menafikan permohonan permit kerja HRW untuk pengarah pertubuhan ini di Israel dan Palestin atas alasan ia bukan kumpulan hak asasi manusia sebenar," kata pertubuhan itu dalam kenyataan.

HRW berkata, ia menerima surat dari Israel menafikan permit kerja untuk penyelidik Omar Shakir, rakyat Amerika Syarikat (AS) yang berada di wilayah itu secara tetap pada 20 Februari lalu.

Shakir menyiasat pencabulan hak asasi manusia di Israel, Tebing Barat dan Gaza, menurut maklumat di laman web HRW.

"Maklumat Kementerian Luar menyatakan aktiviti dan laporan pertubuhan ini terbabit dalam perkhidmatan propaganda Palestin, berselindung di sebalik slogan hak asasi manusia, dan mencadangkan permohonan ditolak," menurut terjemahan surat daripada pihak berkuasa Israel.

Shakir yang kini menjadi Pengarah Palestin dan Israel bagi HRW, mendapati keputusan itu amat mengejutkan.

"Kami tidak memahami dari mana ia datang. Kami faham pihak berkuasa Israel mungkin tidak bersetuju dengan sebahagian hasil kajian kami mengenai isu tertentu yang dilihat sebagai kontroversi.

"Namun kami sudah lama menulis laporan seperti ini dan tiada beza dengan apa yang mereka ketahui sebelum ini. Kami benar-benar tidak faham tindakan ini dan berharap Kementerian Luar Israel menarik balik keputusan itu," katanya. - Russia Today