17 April 2017 - 15:14
Shinzo Abe Gesa Semua Pihak Gunakan Pendekatan Diplomatik Tangani Isu Korea Utara

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe pada Isnin menggesa untuk tidak menggunakan kekerasan dalam menangani isu berkaitan ketegangan di Semenanjung Korea sebaliknya meningkatkan usaha diplomasi, lapor agensi berita China Xinhua.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe pada Isnin menggesa untuk tidak menggunakan kekerasan dalam menangani isu berkaitan ketegangan di Semenanjung Korea sebaliknya meningkatkan usaha diplomasi, lapor agensi berita China Xinhua.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat susulan ketegangan di Semenanjung Korea yang meningkat sejak kebelakangan ini.

Mengulas bagaimana perancangan Jepun untuk melindungi negara dan rakyatnya jika berlaku tindakan provokatif, Abe berkata walaupun Pyongyang boleh menunjukkan aspek kekuatan ketenteraan serta keupayaannya namun keamanan mesti terus dikekalkan melalui usaha diplomatik.

Menurut sumber Jepun, semasa perarakan tentera pada Sabtu Korea Utara mempamerkan kemudahan peluru berpandu dan kelengkapan ketenteraan negara itu, sehari sebelum percubaan Pyongyang melancarkan peluru berpandu balistik.

Abe berkata dialog serius dengan kepemimpinan Korea Utara amat diperlukan dalam usaha mencegah permusuhan.

Beliau berkata, kerajaannya akan terus bekerjasama rapat dengan Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Rusia serta China untuk mengurangkan ketegangan.

Ketegangan di Semenanjung Korea meningkat apabila Amerika Syarikat bertindak menghantar kapal pengangkut Carl Vinson ke kawasan panas tersebut sekaligus mengundang tindak balas daripada pihak Korea Utara yang sebelum itu telahpun melancarkan beberapa ujian peluru berpandu.

Kementerian Luar Korea Utara sebelum ini turut menyuarakan kesediaan negara itu untuk melancarkan peperangan sekiranya diserang sambil menyalahkan A.S berikutan peningkatan ketegangan di semenanjung itu melalui tindakan menghantar "aset nuklear yang besar" ke Semenanjung Korea.

Korea Selatan sebelum ini turut menyuarakan kebimbangan mereka berhubung peningkatan ketegangan yang wujud di rantau itu dan memberitahu Amerika Syarikat untuk meningkatkan komunikasi mereka dengan Seoul dalam rangka menangani isu di rantau itu. 

Timbalan Presiden A.S, Mike Pence turut melawat Korea Selatan sejak Ahad dalam usaha meyakinkan sekutu mereka bahawa Washington akan mempertahankan mereka daripada ancaman Korea Utara.