29 April 2017 - 17:36
Turki Sekat Laman Sesawang Wikipedia

Sebuah kumpulan pemantau internet Turki berkata bahawa Ankara telah menyekat sebarang bentuk akses ke laman sesawang Wikipedia di seluruh negara tersebut.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Sebuah kumpulan pemantau internet Turki berkata bahawa Ankara telah menyekat sebarang bentuk akses ke laman sesawang Wikipedia di seluruh negara tersebut.

Kerajaan Turki menyekat semua akses ensiklopedia dalam talian, Wikipedia, menurut kumpulan pemantau internet, namun tidak jelas mengapa larangan itu dilaksanakan.

Kumpulan Turkery Blocks yang menggelarkan diri mereka sebagai sebuah "projek ketelusan digital" yang bebas berkata, "Sekatan semua edisi bahasa laman sesawang terbabit di Turki dikesan dari jam 0500 GMT selepas sebuah arahan pentadbiran pihak berkuasa Turki."

Koresponden AFP turut berkata, penduduk di bandar ini tidak dapat mengakses mana-mana laman Wikipedia pagi hari ini tanpa menggunakan sistem Virtual Private Network (VPN) yang boleh memintas sekatan tersebut.

"Kegagalan itu konsisten dengan (sistem) tapisan internet yang biasanya digunakan untuk menapis kandungan di dalam negara," kata Turkey Blocks.

Pihak Berkuasa Komunikasi dan Teknologi Turki (BTK) turut mengesahkan sekatan itu. Akan tetapi, mereka tidak memberikan sebarang butiran lanjut berhubung sekatan itu.

Turkey Blocks dan media Turki termasuk akhbar harian Hurriyet menyatakan laman itu disekat di bawah satu arahan pentadbiran sementara yang perlu disokong arahan penuh mahkamah pada hari berikutnya.

Sepanjang beberapa tahun lepas, kerajaan Turki semakin kerap menyekat akses kepada beberapa laman popular termasuk Facebook dan Twitter setiap kali berlaku tunjuk perasaan ataupun serangan militan di negara sekutu Barat itu.

Ankara juga kerap menekan pihak media dan kumpulan pembangkang yang dipercayai mempunyai peranan di dalam percubaan rampasan kuasa Julai 2016.

Percubaan rampasan kuasa yang dilancarkan oleh sebahagian pihak daripada angkatan tentera negara itu berjaya dipatahkan oleh rakyat Turki. - Media

/315