Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Moon Jae-in dan rakan sejawatannya Donald Trump pada Rabu berikrar mengekalkan kerjasama rapat untuk berdepan isu berhubung ancaman nuklear Korea Utara, menurut pejabat presiden Korea Selatan lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.
Perkara itu disuarakan pemimpin berkenaan hasil perbincangan menerusi panggilan telefon pertama kali membabitkan kedua-dua pemimpin.
Selain itu, Trump dan Moon dijangka bakal mengadakan pertemuan secepat mungkin bagi membincangkan isu berkaitan Korea Utara dan isu tertangguh yang lain.
Moon pemimpin Parti Liberal memenangi pilihan raya Presiden Korea Selatan pada Selasa yang diadakan ekoran penyingkiran Park Geun-hye akibat skandal rasuah.
Beliau dijangka mengangkat sumpah jawatan lebih awal iaitu pada Rabu.
Menerusi kenyataan dikeluarkan pejabat presiden Korea Selatan, Trump "menghormati" pilihan rakyat Korea Selatan dan berpendapat meskipun berdepan situasi mencabar beliau yakin presiden baharu dilantik itu mampu mengatasinya.
Moon kemudian menyuarakan harapan untuk mengadakan pertemuan dengan Trump di Washington secepat mungkin.
Beliau berkata, pihaknya juga akan menghantar delegasi diplomatik khas ke Amerika Syarikat dalam waktu terdekat. - Bernama
11 Mei 2017 - 19:13
News ID: 829238
Presiden Moon Jae-in dan rakan sejawatannya Donald Trump pada Rabu berikrar mengekalkan kerjasama rapat untuk berdepan isu berhubung ancaman nuklear Korea Utara, menurut pejabat presiden Korea Selatan lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.