2 Jun 2017 - 11:10
Amnesty Gesa Bahrain Hentikan Amalan Menyiksa Tahanan

Pertubuhan Amnesty International telah memanggil rejim Manama untuk meninggalkan amalan menyiksa para aktivis masyarakat dan segala bentuk pencabulan hak asasi manusia ke atas mereka. Kenyataan itu dibuat selepas timbul sebuah laporan yang menunjukkan bahawa rejim Bahrain mengamalkan penderaan seksual ke atas tahanan wanita semasa proses soal siasat.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pertubuhan Amnesty International telah memanggil rejim Manama untuk meninggalkan amalan menyiksa para aktivis masyarakat dan segala bentuk pencabulan hak asasi manusia ke atas mereka. Kenyataan itu dibuat selepas timbul sebuah laporan yang menunjukkan bahawa rejim Bahrain mengamalkan penderaan seksual ke atas tahanan wanita semasa proses soal siasat.

Amnesty membuat kenyataan itu pada hari Khamis selepas aktivis hak asasi manusia, Ebtisam al-Saegh memberitahu pertubuhan tersebut bahawa dirinya telah disiksa dan dianiaya secara seksual ketika ditahan selama tujuh jam di Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) yang terletak di Muharraq pada minggu lepas.

"Kerajaan perlu menamatkan sebarang bentuk tindakan kekerasan yang dikenakan ke atas pejuang hak asasi manusia dan pengkritik kerajaan yang mengamalkan kebebasan bersuara mereka semata-mata," kata Amnesty International.

"Mereka memukul hidung dan menendang perut saya. Mereka melakukan perkara tersebut kerana mengetahui bahawa saya baru sahaja menjalani pembedahan hidung dan menghadapi masalah kolon (usus)," katanya.

"Saya mampu mendengar peralatan elektrik yang diletakkan di sebelah saya dengan tujuan untuk menakutkan saya. Saya dipaksa berdiri hampir sepenuh masa," tambahnya.

Bahrain yang merupakan hos kepada Armada ke-5 Tentera Laut Amerika Syarikat telah meningkatkan tindak balas mereka ke atas para pengkritik mereka baru-baru ini. -ABNA24

/315