Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) mempersoalkan motif Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memulaukan Qatar.
Malah, tindakan negara Teluk yang belum mendedahkan rungutan mereka terhadap Doha juga dianggap mencurigakan.
"Semakin krisis ini berpanjangan, lebih banyak persoalan akan timbul mengenai tindakan Arab Saudi dan UAE.
"Adakah tindakan ini benar-benar atas alasan Qatar menyokong keganasan atau ia membabitkan pertikaian sejak sekian lama antara Majlis Kerjasama Teluk (GCC)," kata jurucakap Jabatan Negara, Heather Nauert, yang merujuk kepada enam negara anggota GCC.
Kenyataan Jabatan Negara itu bercanggah dengan tuduhan Presiden Donald Trump bahawa Qatar adalah penyumbang terbesar kegiatan pengganas.
Arab Saudi, UAE dan Qatar adalah sekutu penting AS. Tindakan Jabatan Negara mempersoalkan tindak-tanduk Riyadh dan Abu Dhabi secara terbuka menunjukkan Washington mahu pihak terbabit menamatkan pertikaian itu.
"Kami sudah memaklumkan kepada semua pihak terbabit supaya menamatkan krisis ini dan teruskan kerjasama," kata Nauert.
Pangkalan tentera Amerika Syarikat di Al-Udeid di Qatar menempatkan lebih 11,000 tentera negara itu dan sekutunya. Lebih 100 pesawat beroperasi di kemudahan itu. - Reuters
21 Jun 2017 - 07:01
News ID: 837817
Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) mempersoalkan motif Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memulaukan Qatar.