Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Moscow telah mengumumkan bahawa mereka mungkin akan menempatkan tentera negara itu di zon pemampan di Syria selepas mendapat persetujuan daripada Turki dan Iran.
Perunding Persekutuan Rusia, Alexander Lavrentyev membuat pengumuman itu ketika dialog sedang rancak dijalankan di ibu negara Kazakhstan, Astana pada hari Selasa.
"Secara keseluruhannya, (perjanjian) akan mengizinkan kehadiran polis tentera Rusia di zon pemampan. Akan tetapi, perkara ini masih belum lagi dipersetujui (oleh pihak terbabit)... Bergantung kepada persoalan bila dokumen berhubung zon pemampan itu sendiri akan ditandatangani, saya berpendapat kita boleh menyaksikan sebuah langkah konkrit berkaitan penempatan pasukan itu dalam tempoh 2 hingga 3 minggu lagi,' kata beliau.
"Pada ketika ini, sukar untuk berbincang perihal kehadiran pemerhati dan wakil daripada Kementerian Pertahanan Rusia. Akan tetapi, terdapat pelan berhubung kehadiran polis tentera Rusia di kawasan zon pemampan. Walau bagaimanapun, perkara ini masih belum dipersetujui lagi. Perkara itu tergantung kepada persoalan berhubung status pasukan pemerhati (proses) nyah ketegangan," tambah beliau.
Dokumen terakhir berkaitan dengan zon nyah ketegangan dijangka akan ditandatangani pada hari Rabu, tambahnya. Beliau juga berkata bahawa perkara pokok berkaitan zon tersebut telahpun dipersetujui di dalam rundingan sebelumnya.
Rusia, Turki dan Iran pada Mei lepas bersetuju untuk mewujudkan empat zon nyah ketegangan di Syria.
Lavrentyev menambah bahawa Rusia dan rakannya sedang berunding berhubung peta terperinci zon tersebut serta syarat-syarat lain berkaitan wilayah Idlib dan wilayah selatan. Walau bagaimanapun, persetujuan penuh telahpun dicapai berkaitan dua zon lain yang terletak di wilayah Homs dan kawasan berdekatan Damsyik.
Rundingan Astana pusingan yang ke-5 bermula pada awal hari Selasa. -ABNA24
/315
5 Julai 2017 - 02:40
News ID: 840498
Moscow telah mengumumkan bahawa mereka mungkin akan menempatkan tentera negara itu di zon pemampan di Syria selepas mendapat persetujuan daripada Turki dan Iran.