Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pemimpin Korea Utara Kim Jong-un mengesahkan ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) terkini negara itu mampu menjangkau semua bandar utama di Amerika Syarikat (AS), lapor media tempatan, hari ini.
Agensi Berita Tengah Korea (KCNA) melaporkan, Jong-un berkata ujian yang dilakukan Pyongyang memiliki kemampuan untuk dilancarkan dari mana-mana lokasi dan waktu.
"Pemimpin dengan bangga berkata, ujian itu mengesahkan semua bandar utama di AS berada dalam julat serangan. Beliau berpuas hati dengan kejayaan ujian dan memuji penciptanya," lapor KCNA.
Laporan itu turut mengesahkan mekanisme kawalan peledak peluru berpandu nuklear itu beroperasi secara normal dan ia mampu menahan bahang kuat ketika memasuki kawasan atmosfera.
Ujian ICBM kali kedua bulan ini menggandakan kemampuan Korea Utara untuk mengancam serangan nuklear terhadap AS ketika Presiden Donald Trump terus memberi amaran.
Pemimpin AS itu mengecam pelancaran yang dianggap sebagai tindakan 'tidak bertanggungjawab dan berbahaya'. Pada masa sama beliau menolak dakwaan Pyongyang bahawa ujian itu membantu memastikan keselamatan negara itu.
"Dengan mengancam dunia, senjata ini dan ujian akan terus meminggirkan Korea Utara, melemahkan ekonominya dan menghalang kemajuan rakyatnya.
"Amerika Syarikat akan mengambil semua langkah perlu untuk memastikan keselamatan negara ini dan melindungi sekutu di rantau ini," katanya. -AFP
29 Julai 2017 - 04:10
News ID: 844744
Pemimpin Korea Utara Kim Jong-un mengesahkan ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) terkini negara itu mampu menjangkau semua bandar utama di Amerika Syarikat (AS), lapor media tempatan, hari ini.