14 Ogos 2017 - 07:05
Tentera Filipina Bunuh Komander Abu Sayyaf

Pasu­kan tentera Filipina membunuh seorang komander militan Abu Sayyaf yang disyaki menculik dan menye­rang beberapa kapal milik warga asing, lapor pasukan keselamatan.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pasu­kan tentera Filipina membunuh seorang komander militan Abu Sayyaf yang disyaki menculik dan menye­rang beberapa kapal milik warga asing, lapor pasukan keselamatan.

Komander Pasukan Petugas Antikeganasan, Brigadier General Cirilito Sobejana berkata, pasukan tentera sedang meronda di perairan Pulau Jolo, kira-kira 1,000 kilometer di selatan Manila apabila bertembung dengan kumpulan pengganas Abu Sayyaf menaiki sebuah bot kayu.

Pasukan militan itu diketuai oleh Badong Muktadil, seorang komander yang dikehendaki pihak berkuasa Filipina kerana menculik, membunuh dan menyerang warga asing yang menaiki kapal di sempadan maritim dengan Malaysia.

“Kematian Badong bakal melemahkan militan Abu Sayyaf, terutamanya melibatkan aktiviti penculikan dan keganasan mereka,” katanya.

Antara serangan melibatkan kumpulan yang diketuai Badong adalah penculikan enam kru kapal kargo Vietnam pada Februari lalu.

Salah seorang anggota kru dari MV Giang Hai juga dilaporkan terbunuh semasa pertempuran antara penculik dan tentera Filipina di Pulau Jolo pada bulan lalu.

Pengganas masih dipercayai menahan kira-kira 20 tebusan, termasuk 14 orang asing, di Jolo dan wilayah Basilan. – DPA