19 Ogos 2017 - 01:55
Qatar Gusar Berkenaan Keselamatan Jemaah Haji Negaranya

Menteri Luar Qatar, Syeikh Mohammad Bin Abdulrahman al-Thani berkata bahawa kerajaannya khuatir dengan keselamatan warga negara mereka di Arab Saudi sepanjang musim Haji selepas Riyadh membuat keputusan untuk membuka semula sempadan mereka dengan negara Qatar.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Menteri Luar Qatar, Syeikh Mohammad Bin Abdulrahman al-Thani berkata bahawa kerajaannya khuatir dengan keselamatan warga negara mereka di Arab Saudi sepanjang musim Haji selepas Riyadh membuat keputusan untuk membuka semula sempadan mereka dengan negara Qatar.

Menurut al-Thani, pihak berkuasa Arab Saudi masih belum menjawab beberapa pertanyaan yang diutarakan oleh Kementerian Urusan Agama Qatar berhubung keselamatan warganya ketika menunaikan ibadah Haji. Beliau membuat kenyataan itu di dalam sebuah sidang akhbar yang berlangsung di Norway.

"Tahap ketegangan di antara kedua-dua buah negara serta bahasa dan nada yang digunakan oleh media Arab Saudi dalam menyebarkan kebencian ke atas warga Qatar telah menimbulkan kekhuatiran buat kami (berhubung keselamatan warga Qatar)," kata beliau.

"Keselamatan mereka yang menyeberangi sempadan pada masa ini berada di bawah tanggungjawab pihak berkuasa Arab Saudi," tambah menteri luar itu.

Beliau turut mengesahkan bahawa lebih daripada "100" warga Qatar telahpun menyeberangi sempadan dalam rangka menunaikan ibadah Haji sejak pintu sempadan tersebut dibuka semula pada hari Khamis.

Qatar mengalu-alukan keputusan Riyadh untuk membuka semula pintu sempadan yang dikenali sebagai Abu Samrah buat jemaah Haji negaranya. Akan tetapi, mereka berkata bahawa tindakan Riyadh itu mempunyai motif politik yang khusus.

Laluan utama bagi kaum muslim yang datang dari Qatar ditutup sejak Jun lepas susulan daripada krisis diplomatik yang melanda negara-negara Teluk.

Arab Saudi, Bahrain, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah memutuskan hubungan diplomatik mereka dengan Qatar pada 5 Jun lepas dengan menuduh Doha menaja keganasan dan menganggu kestabilan di rantau Timur Tengah. Blok pimpinan Arab Saudi itu turut mengenakan sekatan pengangkutan ke atas negara jiran mereka itu.

Doha menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Arab Saudi sambil berkata bahawa negara-negara yang memulaukannya telah menyerang kedaulatan Qatar.

Arab Saudi dan pakatan mereka sebelum ini telahpun mengemukakan senarai tuntutan mereka kepada Qatar. Doha walau bagaimanapun menyifatkan senarai itu sebagai tidak realistik dan enggan mematuhinya. -ABNA24

/315