Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Dunia perlu memberikan tekanan terhadap kerajaan Myanmar supaya negara tersebut menghentikan pembunuhan etnik Rohingya secara besar-besaran ketika ini.
Penganalisis politik antarabangsa, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar berkata, terdapat dua cara yang boleh dilakukan supaya Yangon terus menghentikan tindakan ketenteraan terhadap etnik terbabit.
“Cara pertama yang boleh dilakukan adalah melalui peringkat kenegaraan. Ini lebih kepada hubungan G2G (kerajaan kepada kerajaan), dengan kerajaan Malaysia dan Indonesia mendesak Myanmar supaya tidak memerangi etnik Rohingya.
“Cara yang kedua ialah melalui penglibatan di peringkat pertubuhan antarabangsa dan serantau. Pertubuhan seperti Asean, OIC dan PBB yang dianggotai banyak negara. Negara yang menganggotai kesemua pertubuhan ini boleh mendesak semua pertubuhan ini supaya melakukan sesuatu terhadap Myanmar,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Selain itu, menurutnya, tindakan secara perundangan boleh dilakukan terhadap Myanmar, seperti yang pernah dilakukan terhadap pemimpin Uganda dan Bosnia setelah didapati bersalah oleh Tribunal Antarabangsa kerana melakukan kezaliman terhadap rakyatnya.
“Namun, penggunaan cara berkenaan sedikit rumit kerana melibatkan proses undang-undang yang banyak, sebelum boleh membawa kes Rohingya ke tribunal itu,” ujarnya.
Ditanya adakah kerajaan Malaysia perlu melakukan sekatan perdagangan seperti yang didesak beberapa pihak, Mohamad berpendapat, tindakan tersebut tidak akan memberikan impak yang besar terhadap Yangon kerana Myanmar tidak mempunyai kepentingan besar dengan Kuala Lumpur.
"Sekiranya ingin melakukan sekatan perdagangan, Malaysia perlu berpakat dengan negara Asean yang lain untuk berbuat tindakan sama supaya Myanmar menerima impaknya.
“Tetapi, ia tidak semudah itu kerana negara seperti Thailand rapat dengan Myanmar,” katanya.
16 September 2017 - 15:04
News ID: 854578
Dunia perlu memberikan tekanan terhadap kerajaan Myanmar supaya negara tersebut menghentikan pembunuhan etnik Rohingya secara besar-besaran ketika ini.