21 September 2017 - 09:28
Penduduk Buddha Cuba Sekat Penghantaran Bantuan Ke Rakhine

Ratusan penduduk Buddha di Myanmar cuba menyekat penghantaran bantuan kepada Muslim Rohingya di Rakhine dengan saksi berkata, penunjuk perasaan membaling bom petrol sebelum polis menyuraikan mereka dengan melepaskan tembakan ke udara.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Ratusan penduduk Buddha di Myanmar cuba menyekat penghantaran bantuan kepada Muslim Rohingya di Rakhine dengan saksi berkata, penunjuk perasaan membaling bom petrol sebelum polis menyuraikan mereka dengan melepaskan tembakan ke udara.

Penghantaran itu, dianjurkan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), dalam perjalanan ke utara negara itu di Rakhine di mana serangan pemberontak 25 Ogos lalu mencetuskan tentangan ganas tentera.

Keganasan itu menyaksikan lebih 420,000 Muslim Rohingya lari ke Bangladesh, namun ramai masih kekal di Myanmar namun bersembunyi bimbang terbabit dalam lebih banyak keganasan tanpa makanan atau bekalan lain, kata pekerja bantuan.

Beratus-ratus penduduk Buddha cuba menghalang sebuah bot sarat dengan kira-kira 50 tan bantuan di sebuah pelabuhan di ibu kota Rakhine di sini lewat semalam, kata pejabat penerangan kerajaan hari ini.

Bantahan itu adalah bukti meningkatnya ketegangan masyarakat yang mengancam merumitkan lagi penghantaran bekalan penting.

Penunjuk perasaan, sesetengah dilihat bersenjatakan kayu dan batang besi, membaling bom petrol dan kira-kira 200 anggota polis dipaksa menyuraikan mereka dengan melepaskan tembakan ke udara, kata saksi, menambah dia melihat sesetengah cedera.

Pejabat penerangan kerajaan dalam satu kenyataan berkata, lapan orang ditahan susulan bantahan.

Jurucakap ICRC bagaimanapun enggan mengulas, begitu juga polis. -REUTERS