22 Oktober 2017 - 13:49
72 Maut Serangan Bom Di Dua Masjid

Sekurang-ku­ra­ngnya 72 orang termasuk kanak-kanak terkorban dalam dua serangan bunuh diri di dua masjid di wilayah Dasht-e-Barchi, Kabul dan wilayah Ghor dekat sini, semalam.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Sekurang-ku­ra­ngnya 72 orang termasuk kanak-kanak terkorban dalam dua serangan bunuh diri di dua masjid di wilayah Dasht-e-Barchi, Kabul dan wilayah Ghor dekat sini, semalam.

Seorang pengebom meletupkan dirinya selepas memasuki masjid yang dikendalikan oleh penganut mazhab Syiah iaitu masjid Imam Zaman di sini ketika orang ramai menunaikan solat Isyak.

Jurucakap Kementerian Dalam Negara, Najib Danish berkata, sekurang-kurangnya 39 maut dan 45 cedera dalam kejadian tersebut.

Kumpulan pengganas Takfiri Daesh mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan tetapi tiada bukti disertakan bagi menyokong dakwaan itu.

Kumpulan tersebut turut mendakwa, anggotanya, Abu Ammar al-Turkmani telah meletupkan dirinya dalam masjid berkenaan.

Terdahulu, dalam kejadian berasingan, sekurang-kurangnya 33 orang terkorban di sebuah masjid di bahagian tengah wilayah Ghor selepas seorang pengebom bunuh diri meletupkan dirinya.

Menurut kenyataan Gabenor wilayah Balkh, Atta Mohammad Noor, serangan itu menyasarkan pemimpin tempatan dari parti politik Jamiat namun tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab.

Dalam pada itu seorang saksi di masjid Imam Zaman berkata, tubuh pengebom bunuh diri berkenaan sarat dengan bahan letupan dan bom tangan.

“Dia bergerak di tengah-tengah orang ramai dan meletupkan dirinya ketika orang ramai hampir selesai mengerjakan solat,” katanya.

Seorang lagi saksi, Ibrahim berkata, tingkap masjid pecah manakala darah dan daging manusia bertaburan dalam masjid itu.

Beberapa jam selepas kejadian itu, kumpulan Taliban melancarkan dua roket di ibu pejabat Misi Sokongan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di sini namun tiada laporan tentang kemalangan jiwa.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), An­tonio Guterres mengutuk serangan itu dan mendesak keganasan yang berlarutan di negara ini perlu dihentikan serta mereka yang bertanggungjawab perlu dihadapkan ke mahkamah. – AFP