Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Penasihat politik dan media Presiden Syria, Bashar Assad memanggil kumpulan pembangkang untuk meletakkan senjata dalam rangka memberi ruang kepada Kongres Dialog Kebangsaan yang melibatkan pihak-pihak bertelagah untuk menjadi lebih berkesan.
Di dalam sebuah temu ramah dengan agensi berita Sputnik pada hari Khamis, Bouthaina Shaaban menyatakan kesediaan Damsyik untuk berdialog dengan pihak yang mempunyai kepercayaan kepada solusi politik di dalam menangani krisis di Syria.
"Syria sejak awal krisis lagi telah mengambil pendekatan membina dan pragmatik berasaskan kepercayaan kepada konsep pertemuan, dialog politik dan nasib bersama setiap perwakilan warga Syria," kata Shaaban.
Akan tetapi, keinginan atau kemampuan pembangkang "untuk bertemu di dalam sebuah proses politik yang sebenar masih belum dijelaskan," tambahnya.
Presiden Iran, Hassan Rouhani, Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada hari Rabu telah bertemu di Sochi, Rusia. Mereka bersetuju untuk menganjurkan Kongres Dialog Kebangsaan di bandar peranginan Rusia itu dalam rangka membawa setiap pihak bertelagah untuk duduk bersama-sama dan membincangkan proses damai di Syria.
Kongres yang hanya akan disertai oleh warga Syria itu akan melibatkan proses melakar struktur baharu negara Arab itu, pengusulan perlembagaan baharu dan memberi laluan bagi sebuah proses pilihan raya yang akan berada di bawah pengawasan PBB, kata Putin.
Shaaban turut berkata bahawa "Kejayaan kongres itu bergantung kepada kesedaran daripada pihak pembangkang yang terdiri daripada pelbagai kumpulan untuk memahami sekarang adalah masa terbaik untuk menghentikan keganasan, meletakkan senjata dan menyertai proses dialog kebangsaan yang akan membuka ruang bagi sebuah penyelesaian komprehensif kepada kesemua isu yang terkait dengan krisis semasa."
Beliau turut menekankan bahawa Damsyik akan sentiasa meletakkan kepercayaan ke atas Rusia dan Iran yang menurutnya telah memberikan bantuan berharga kepada Syria di dalam perang ke atas keganasan global.
"Kami percaya bahawa mereka (Rusia dan Iran) akan berusaha gigih untuk menamatkan krisis di Syria. Mereka telah bekerjasama dengan tentera Syria dalam rangka menghapuskan keganasan dan memelihara kedaulatan dan integriti wilayah negara ini," tambah beliau. -ABNA24
/315
24 November 2017 - 04:21
News ID: 868736
Penasihat politik dan media Presiden Syria, Bashar Assad memanggil kumpulan pembangkang untuk meletakkan senjata dalam rangka memberi ruang kepada Kongres Dialog Kebangsaan yang melibatkan pihak-pihak bertelagah untuk menjadi lebih berkesan.