Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Rakyat Palestin akan mendapatkan sokongan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), jika Washington menggunakan kuasa veto ke atas resolusi Majlis Keselamatan.
Majlis Keselamatan dijangka membuat undian hari ini, terhadap draf resolusi bagi menolak keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Amerika Syarikat dijangka menggunakan kuasa pembatal atau veto untuk menolak keputusan undian itu.
Menteri Luar Palestin, Riyad Al-Malki, berkata mereka akan mendapatkan sokongan di UNGA jika Duta Amerika Syarikat, Nikki Haley, menggunakan kuasa veto itu.
"Jika Haley menganggap kuasa veto itu adalah sumber kebanggaan dan kekuatan negaranya, kami akan menunjukkan kepadanya bahawa tindakan mereka ditolak masyarakat antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan.
UNGA bakal memulakan sesi plenari esok, termasuk bagi membincangkan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib mereka sendiri.
Lima anggota tetap Majlis Keselamatan mempunyai kuasa veto, tetapi tiada kuasa pembatal diberikan kepada mana-mana negara pada UNGA. - AFP
18 Disember 2017 - 17:57
News ID: 873085
Rakyat Palestin akan mendapatkan sokongan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), jika Washington menggunakan kuasa veto ke atas resolusi Majlis Keselamatan.