29 Disember 2017 - 11:50
40 Maut Serangan Pengebom Bunuh Diri

Sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh manakala 84 lagi cedera dalam serangan pengeboman bunuh diri di pusat kebudayaan Tabayan di barat ibu kota negara ini.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh manakala 84 lagi cedera dalam serangan pengeboman bunuh diri di pusat kebudayaan Tabayan di barat ibu kota negara ini.

Kementerian Dalam Negeri memberitahu BBC bahawa pengeboman itu disusuli dengan dua lagi letupan di kawasan terbabit.

Sehingga kini, belum ada pihak mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu.

Kumpulan Taliban turut mengeluarkan kenyataan mereka tidak terlibat dalam kejadian berkenaan.

Imej yang tersebar di media sosial menunjukkan beberapa mayat dilihat di depan bangunan tersebut selepas letupan berlaku.

Jurucakap Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nasrat Rahimi berkata, serangan disasarkan sewaktu satu upacara bagi memperingati ulang tahun ke-38 pencerobohan Kesatuan Soviet ke atas Afghanistan diadakan.

Beberapa pelajar dipercayai turut menghadiri forum perbincangan dengan anggota kumpulan media di dalam pejabat bangunan itu.

Dalam pada itu, Ketua Afghan Press memberitahu BBC, setakat ini, berpuluh-puluh mayat telah dibawa keluar dari bangunan terbabit manakala berpuluh-puluh yang cedera dihantar ke hospital.