Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Ketegangan memuncak di kem pelarian Rohingya di sini yang menempatkan ratusan ribu etnik itu, berikutan operasi menghantar mereka pulang ke Myanmar yang bermula minggu depan.
Puluhan pelarian memegang kain rentang menentang penghantaran pulang mereka ketika Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Yanghee Lee, melawat kem di sepanjang sempadan Bangladesh-Myanmar hari ini.
Beberapa ketua pelarian berkata, pegawai tentera Bangladesh mengancam mencatu makanan jika mereka enggan pulang.
Mengikut perjanjian ditandatangani minggu lalu, Myanmar bersedia menerima pelarian Rohingya dari Bangladesh di dua pusat penerimaan dan sebuah kem sementara, berhampiran sempadan bermula Selasa ini dan berterusan untuk tempoh dua tahun.
Pelarian terbabit enggan pulang kecuali keselamatan mereka dijamin dan Myanmar menunaikan tuntutan mendapatkan kerakyatan serta mengiktiraf mereka sebagai etnik minoriti.
Mereka juga menuntut rumah, masjid dan sekolah yang dibakar atau dirosakkan ketika operasi tentera dibina semula.
Lebih 655,500 pelarian Rohingya lari ke Bangladesh selepas tindakan keras tentera Myanmar di utara Rakhine sebagai tindak balas serangan pemberontak 25 Ogos 2017.
PBB menyifatkan tindakan tentera Myanmar itu tidak ubah seperti pembersihan etnik - Reuters
21 Januari 2018 - 14:44
News ID: 878505
Ketegangan memuncak di kem pelarian Rohingya di sini yang menempatkan ratusan ribu etnik itu, berikutan operasi menghantar mereka pulang ke Myanmar yang bermula minggu depan.