22 Mac 2018 - 16:14
Suspek Serangan Bom PM Palestin Maut

Suspek utama dalam serangan bom terbaharu ke atas Perdana Menteri Palestin di Semenanjung Gaza maut dalam serbuan untuk menangkapnya hari ini yang turut menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan Hamas terbunuh.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Suspek utama dalam serangan bom terbaharu ke atas Perdana Menteri Palestin di Semenanjung Gaza maut dalam serbuan untuk menangkapnya hari ini yang turut menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan Hamas terbunuh.

Seorang daripada rakan subahat suspek turut terbunuh dalam serbuan itu selepas Hamas, pergerakan Islam yang mentadbir Semenanjung Gaza, melancarkan pemburuan.

Kementerian Dalam Negeri di Semenanjung Gaza mengumumkan kematian itu.

Terdahulu, dua suspek itu dikatakan ditahan namun kementerian mengeluarkan kenyataan mengatakan mereka maut akibat kecederaan.

Kementerian berkata, dua anggota pasukan keselamatan Hamas maut ketika menjalankan tugas dalam operasi pagi ini.

Pertembungan dengan berbalas tembakan berlaku di sini, selatan Bandar Gaza, sehari selepas Hamas menamakan Anas Abu Koussa, lahir pada 1993 sebagai suspek utama.

Perdana Menteri Palestin, Rami Hamdallah tidak cedera dalam serangan bom tepi jalan yang menyasar konvoi beliau 13 Mac lalu dalam apa yang disifatkan pihak berkuasa Palestin sebagai cubaan bunuh.

Ketua risikan Pihak Berkuasa Palestin, Majid Faraj yang menemani Hamdallah ketika insiden juga terselamat.

Bom tepi jalan itu dipercayai seberat 15 kilogram, meletup beberapa meter dari sempadan Israel, sebaik konvoi Hamdallah masuk ke wilayah terbabit. Bom kedua gagal meletup. -AFP