Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pemberontak Syria di bandar selatan Deraa menyerahkan senjata berat mereka kepada tentera kerajaan hari ini, kata media tempatan mengikut satu perjanjian dibantu sekutu rejim, Russia.
Agensi berita SANA berkata, pejuang pembangkang di kejiranan Deraa al-Balad, daerah di separuh selatan ditawan pemberontak, menyerahkan senjata berat dan peralatan lain.
Ia berlaku sehari selepas rejim dan pemberontak mula merobohkan penghadang sampah yang memisahkan bandar itu selama bertahun, kata koresponden AFP.
Perjanjian dicapai Rabu lalu akan menyaksikan bandar Deraa, pusat utama pemberontakan tujuh tahun Syria, jatuh semula ke tangan kerajaan.
Dibantu Moscow, rundingan itu mensyaratkan pemberontak menyerahkan senjata sederhana hingga berat dan 'bersatu' secara sah dengan kerajaan, menurut media tempatan.
Mereka yang menolak perjanjian akan dibenarkan melakukan laluan selamat keluar dari bandar itu.
Syarat itu mencerminkan perjanjian lebih besar diumumkan 6 Julai lalu untuk keseluruhan wilayah Deraa, yang akan dilaksanakan dalam tiga peringkat; kawasan timur perkampungan terlebih dulu, diikuti bandar dan akhirnya barat wilayah itu.
Ketika pemberontak menyerahkan senjata kepada tentera kerajaan di berpuluh bandar, tiada pemindahan pejuang atau orang awam ke kawasan utara dikawal pembangkang dilakukan setakat ini.
Perjanjian Deraa itu adalah yang terbaharu dalam apa yang digelar perjanjian 'penyatuan' biasanya diikuti tentangan memuncak tentera. -AFP