12 Disember 2018 - 18:44
Arab Saudi Didakwa Cuba Tutup Kes

Turki menggesa supaya satu siasatan antarabangsa dilakukan segera berhubung kes pembunuhan Jamal Khashoggi selepas Arab Saudi enggan mengekstradisi dua pe­gawai kanannya yang disyaki ter­libat dalam insiden tersebut ke negara ini untuk dibicarakan.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) -  Turki menggesa supaya satu siasatan antarabangsa dilakukan segera berhubung kes pembunuhan Jamal Khashoggi selepas Arab Saudi enggan mengekstradisi dua pe­gawai kanannya yang disyaki ter­libat dalam insiden tersebut ke negara ini untuk dibicarakan.

PressTV memetik Pengarah Ko­munikasi Presiden Turki, Fah­rettin Altun sebagai berkata, komuniti dunia perlu bersama-sama mencari dalang pembunuhan Jamal menerusi undang-undang antarabangsa.

Selain itu, pihak berkuasa Arab Saudi juga didakwa tidak memberi kerjasama yang baik dan Turki melihat pendakwa raya negara itu hanya memberi sedikit bahan bukti sebagai usaha untuk menutup perkara sebenar yang menimpa Jamal.

Jelas Fahrettin, keadaan itu secara tidak langsung menjadi kepentingan utama komuniti antarabangsa mencari keadilan untuk Jamal.

Pada bulan lalu, Kementerian Luar Turki memberi amaran bahawa Ankara mungkin memohon Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melakukan siasatan secara rasmi ke atas kes pembunuhan wartawan Washing­ton Post itu sekiranya kerjasama dengan Riyadh tidak mendatangkan hasil yang baik.

Pejabat pendakwa raya Turki pada minggu lalu pula menyimpulkan terdapat petunjuk kuat yang mengaitkan penasihat rapat Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman iaitu Saud al-Qahtani dan anggota perisik, Jeneral Ahmed al-Asiri merupakan antara suspek yang merancang pembunuhan Jamal.

Pihak berkuasa negara ini percaya pihak tertinggi Arab Saudi menghantar satu pasukan yang terdiri daripada 15 orang untuk membunuh Jamal dalam ba­ngunan konsulat negara itu di sini pada 2 Oktober lalu.

Laporan Agensi Perisikan Pusat (CIA) sebelum ini menunjukkan Mohammed menghantar sekurang-kurangnya 11 mesej kepada Saud dalam tempoh pembunuhan Jamal berlaku.

Terjemahan transkrip yang didedahkan CNN semalam turut memberi gambaran kematian Jamal adalah disebabkan dibunuh dan bukannya tidak disengajakan seperti didakwa Arab Saudi sebelum ini.