5 Januari 2019 - 17:44
Letupan Kereta Gegarkan Peshawar, Pakistan

Enam orang, termasuk dua wanita, cedera pada hari Sabtu dalam letupan di pasar Kala Bari yang terletak di kawasan Saddar di Peshawar, lapor seorang sumber di Hospital Lady Reading, di mana mereka yang cedera ditempatkan.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Enam orang, termasuk dua wanita, cedera pada hari Sabtu dalam letupan di pasar Kala Bari yang terletak di kawasan Saddar di Peshawar, lapor seorang sumber di Hospital Lady Reading, di mana mereka yang cedera ditempatkan.

Kesemua enam yang cedera berada dalam keadaan stabil, kata Pegawai Polis Bandaraya (PPS) Peshawar Qazi Jamil. Terdahulu, Jamil berkata bahawa hanya empat orang mengalami kecederaan akibat daripada letupan itu.

Sekurang-kurangnya tiga kedai rosak akibat kesan letupan bom itu. Kawasan itu kini dikawal ketat oleh pasukan keselamatan selepas insiden letupan itu.

Jamil berkata bahawa sekitar lapan hingga sepuluh kilogram bahan peledak telah digunakan di dalam letupan itu. Bahan itu menurutnya telah dipasang pada sebuah kereta Corolla putih.

"Insiden ini melibatkan letupan IED (bom buatan sendiri) dan bahan letupan itu telah dipasang di dalam sebuah kenderaan," katanya kepada AFP.

Ketua Unit Anti Bom, Shafqat Malik mengesahkan bahawa letupan itu melibatkan IED dan menambah: "Semua bahagian kenderaan tersebut telah musnah dan hanya bahagian enjinnya masih kekal utuh."

Rakaman CCTV letupan itu menunjukkan seorang lelaki meletakkan kereta di kawasan insiden sebelum keluar dengan memakai selendang. Letupan tercetus sejurus apabila dia keluar dari bingkai video.

Letupan hari ini adalah insiden pertama yang direkodkan pada tahun 2019 di ibu kota wilayah itu. Letupan IED yang terakhir berlaku pada bulan Oktober tahun lepas. Letupan itu menyebabkan seorang warga awam dan anggota paramilitari mengalami kecederaan.

Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, wilayah Khyber Pakhtunkhwa, KP telah menyaksikan penurunan yang tajam dalam jumlah serangan pengganas di kawasan itu.

Menurut satu kajian yang dilakukan oleh Institut Konflik dan Keselamatan Pakistan, 40 serangan telah direkodkan di KP di mana 72 orang terbunuh dan 174 cedera sepanjang tahun lepas. Angka serangan berani mati di seluruh negara juga menurun dari 23 pada 2017 hingga 18 pada tahun 2018. -Dawn/ABNA24