25 Februari 2019 - 14:02
Iran Godam Sistem Kawalan Dron A.S: IRGC

Seorang komander kanan daripada pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran(IRGC) berkata bahawa Unit Aeroangkasa negara tersebut telah berjaya menggodam sistem kawalan dron Amerika Syarikat sebagai tindak balas terhadap kebiadapan Washington yang mendakwa bahawa mereka telah berjaya mensabotaj sistem peluru berpandu Iran.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Seorang komander kanan daripada pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran(IRGC) berkata bahawa Unit Aeroangkasa negara tersebut telah berjaya menggodam sistem kawalan dron Amerika Syarikat sebagai tindak balas terhadap kebiadapan Washington yang mendakwa bahawa mereka telah berjaya mensabotaj sistem peluru berpandu Iran.

Bercakap kepada pemberita di majlis yang berlangsung di Tehran pada hari Ahad lepas, komander Bahagian Aeroangkasa IRGC, Brigadier Jeneral Amir Ali Hajizadeh, berkata, "Kami melancarkan operasi ini untuk memberitahu mereka (tentera Amerika Syarikat) bahawa anda bukan sahaja gagal mencapai matlamat anda, bahkan kami telah berjaya menyusup masuk ke dalam sistem anda," dan ini merupakan tindak balas kepada kesombongan Amerika Syarikat.

Pada 12 Februari lepas, akhbar New York Times melaporkan bahawa pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dikatakan telah menghidupkan semula sebuah rancangan rahsia untuk mensabotaj sistem peluru berpandu balistik Iran. Rancangan itu merupakan sebahagian daripada pelan utama pentadbiran tersebut yang bertujuan untuk melemahkan kekuatan tentera Republik Islam Iran dan dalam masa yang sama melumpuhkan ekonominya.

Menurut laporan itu, program itu dimulakan di bawah pentadbiran Presiden George W. Bush, yang berusaha untuk mengganggu program aeroangkasa Iran dengan membekalkan perkakasan dan instrumen rosak di dalam rantaian bekalan program Tehran itu.

Percubaan sabotaj tersebut dilaporkan semakin meningkat pada tahun-tahun awal pemerintahan Presiden Barack Obama. Walau bagaimanapun, skala program dan rancangan itu telah diperlahankan pada tahun 2017 tambah laporan tersebut.

Di dalam ucapannya, Hajizadeh juga dilaporkan berkata, "Kami mengumumkan perkara tersebut pada hari ini kerana pentadbiran Amerika Syarikat cukup berani untuk mendakwa bahawa mereka telah menghantar bahagian-bahagian yang rosak dalam rangka untuk mensabotaj peluru berpandu kami."

Hajizadeh turut berkata bahawa pasukannya telah mengetahui tentang pelan jahat A.S itu sejak bertahun lamanya walaupun perkara itu hanya diumumkan oleh A.S baru-baru ini. -PRESS TV