7 April 2019 - 14:59
6,000 Kanak-Kanak Palestin Ditahan, Didera

Sekurang-kurangnya 6,000 kanak-kanak Palestin telah ditahan oleh pihak berkuasa rejim Zionis sejak 2015.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Sekurang-kurangnya 6,000 kanak-kanak Palestin telah ditahan oleh pihak berkuasa rejim Zionis sejak 2015.

Menurut Persatuan Banduan Palestin dalam satu kenyataan dikeluarkan sempena Hari Kanak-Kanak Palestin, daripada jumlah itu, 98 peratus kanak-kanak yang ditahan mengalami penderaan dari segi psikologi dan fizikal sepanjang dalam tahanan.

Tambah persatuan berkenaan, puluhan kanak-kanak ditahan selepas ditembak atau dicederakan oleh rejim Zionis.

Lapor al-Jazeera, kanak-kanak yang tinggal di Baitulmuqaddis Timur paling ramai dijadikan sasaran oleh rejim Zionis dan berpuluh daripadanya ditahan lebih daripada sekali dalam tempoh sebulan.

Kanak-kanak yang ditahan ketika serbuan pada waktu malam akan dipindahkan ke pusat tahanan dan disoal siasat, selain didera termasuk tidak diberikan makanan atau minuman selama beberapa jam.

Jelas persatuan tersebut, hak mereka berhubung kehadiran penjaga atau ibu bapa ketika di­soal siasat sering dinafikan.

Keadaan sebegitu menyebabkan kanak-kanak tersebut menderita mimpi buruk, insomnia, prestasi pembelajaran makin merosot dan memberi tindak balas agresif terhadap persekitaran serta masyarakat di sekeliling.

Malah, kanak-kanak berkenaan dipaksa untuk menandatangani kenyataan yang menggunakan bahasa Hebrew - bahasa yang tidak difahami mereka.

Dalam kenyata­an itu, persatuan terbabit menggesa agar organisasi hak asasi manusia, terutamanya agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan efektif terhadap ‘jenayah’ dilakukan oleh Israel.

LEBIH 80 CEDERA

Dalam perkembangan berlainan, rejim Zionis menyerang penduduk Palestin yang menyer­tai protes anti pencerobohan di sepanjang Tebing Gaza, mengakibatkan lebih daripada 80 orang cedera.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qedra berkata, kesemua mangsa me­ngalami pelbagai kecederaan ketika protes semalam.

Protes diadakan setiap minggu sejak 30 Mac tahun lalu bagi me­nuntut hak mereka untuk kembali semula ke tanah air yang dirampas Israel.

Lebih 260 penduduk Palestin terbunuh sepanjang protes dijalankan manakala 26,000 yang lain cedera.

LAGI SEKATAN AL-AQSA

Terdahulu agensi berita Wafa melaporkan, polis Israel melarang dua lagi penduduk Palestin daripada memasuki Masjid al-Aqsa.

Polis pada awalnya menahan mereka yang didapati memasuki kawasan masjid.

Kedua-dua mereka yang ditahan di Balai Polis Jaffa Gate kemudiannya dibebaskan selain diarahkan untuk tidak mendekati Masjid al-Aqsa selama dua minggu.

TOLAK PELAN DAMAI

Sementara itu, anggota kanan Parti Rakyat Palestin yang juga pensyarah di Birzeit Universiti, Ghassan Khatib memberitahu Al-Monitor, cara terbaik untuk memberi maklum balas terhadap pelan damai yang dirangka Amerika Syarikat (AS) khususnya Presiden Donald Trump adalah dengan menolaknya.

“Jika pelan damai itu sudah dibuat, seharusnya ditolak. Tiada siapa patut membincangkan atau berunding kerana AS tidak layak untuk memainkan peranan sebagai orang tengah,” tegasnya.

Ghassan yang terlibat dalam pelan damai pada 1990-an memberitahu, AS telah mencabuli deklarasi 1993 yang meletakkan Washington sebagai pemantau.

Duta Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Riyad Mansour baru-baru ini menyifatkan pelan AS berhubung run­dingan damai antara Palestin dan Israel ‘sudah terkubur’.

Ini selepas Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel.