Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Ketua Badan Kehakiman Republik Islam Iran, Hujjatul Islam, Syed Ibrahimi Raeisi menyatakan keyakinan beliau bahawa konspirasi pentabiran Amerika Syarikat terhadap bangsa Palestin melalui apa yang dipanggil Washington sebagai "Perjanjian Abad Ini" akan berjaya dipatahkan dan berubah menjadi "Tentangan Abad Ini", ujar beliau kepada pemberita ketika menyertai demonstrasi Hari al-Quds Sedunia di Birjand, Iran.
Beliau turut berkata bahawa "kehadiran luar biasa warga awam di dalam perarakan dan perhimpunan ini membawa sebuah mesej yang pasti berhubung pembebasan al-Quds kepada para pencinta Revolusi Islam."
"Azam membara bangsa Iran melalui kehadiran mereka (di dalam perhimpunan al-Quds) membawa pelbagai mesej (kepada dunia," kata beliau sambil menambah bahawa kehadiran mereka pasti dapat dirasakan oleh pihak musuh khususnya kuasa istikbar (bongkak) dunia (A.S).
"... dengan melihat perhimpunan raksasa ini serta kebijakan umat Islam (dalam menangani konspirasi musuh), perjanjian abad ini pasti akan bertukar kepada penentangan abad ini," kata beliau lagi yang popular di kalangan golongan konservatif di negara itu.
Puluhan ribu warga Iran pada hari ini menyertai demonstrasi tahunan bagi menyatakan sokongan kepada Palesin dan menolak pelan damai Amerika Syarikat (A.S).
Tunjuk perasaan tahunan yang dinamakan sebagai 'Hari al-Quds (Baitulmuqaddis) Sedunia' dianjurkan pada setiap hari Jumaat terakhir bulan Ramadan.
Demonstrasi itu sebelum ini diperkenalkan oleh pemimpin revolusi Islam Iran, Marhum Ayatullah Ruhollah Khomeini dan setiap tahun turut disertai oleh kumpulan pro-Palestin di rantau itu dan di seluruh dunia termasuk Malaysia dan Indonesia.
Program itu juga dilihat sebagai kayu ukur yang baik untuk memahami sokongan bangsa Iran kepada sistem pemerintahan mereka yang berusaha keras menentang kuasa istikbar (bongkak) dunia dan dalam masa yang sama memperkenalkan Islam sebagai solusi kepada sebarang isu domestik dan antarabangsa. -Agensi/ABNA24