Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Perdana menteri Pakistan didakwa "menghina" Raja Salman di dalam sebuah sesi sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dianjurkan di Mekah, sekaligus menimbulkan kemarahan di dalam kerajaan monarki mutlak itu.
Rakaman menunjukkan Perdana Menteri Pakistan berjalan di atas karpet merah untuk bertemu Raja Salman. Selepas jabat tangan dan ucapan ringkas, Imran Khan bercakap secara langsung kepada jurubahasa raja tanpa memandang ke arah raja itu sendiri.
Khan kemudian difilemkan mengangkat tangan ketika bercakap kepada penterjemah sebelum berjalan dengan santai, tanpa menunggu respon daripada Raja Salman.
Laporan yang tidak disahkan berkata bahawa kerajaan Arab Saudi telah memprotes negara Pakistan di peringkat tertinggi dan menyifatkan bahawa tindakan Perdana Menteri Imran Khan sebagai pelanggaran protokol pertemuan.
Putera mahkota Arab Saudi sebelum ini melawat Pakistan pada bulan Februari lalu di mana beliau menerima sambutan mewah daripada negara tersebut.
Semasa lawatan tersebut, kedua-dua negara menandatangani beberapa perjanjian bernilai USD 20 bilion untuk Pakistan di dalam pelbagai sektor.
Insiden terbaharu itu merupakan salah satu daripada tamparan para pemerintah Arab Saudi yang berharap dapat menggunakan sidang kemuncak di Mekah dan Jeddah itu untuk menghantar mesej keras bersama kepada Iran.
Pada hari Khamis lepas, Presiden Iraq Barham Salih menolak kenyataan akhir yang digubal oleh Arab Saudi sendiri yang menuduh Iran melakukan "campurtangan" di negara serantau.
Kerajaan Syria juga menolak pernyataan akhir OIC, menggambarkan kehadiran penasihat tentera Iran di negara ini sebagai sesuatu yang "sah" dari segi undang-undang.
Qatar pada hari Ahad berkata bahawa mereka menentang kenyataan keras ke atas Republik Islam Iran.
"Kenyataan itu mengutuk Iran tetapi tidak merujuk kepada dasar sederhana (yang boleh digunapakai) untuk berdialog dengan Tehran," kata Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani.
"Mereka mengamalkan dasar Washington ke atas Iran, (dasar itu) bukanlah satu dasar yang meletakkan pertimbangan bahawa Iran merupakan jiran kita," katanya.
Sheikh Mohammed juga berkata, "Sidang kemuncak Mekah mengabaikan isu-isu penting di rantau ini, seperti isu Palestin dan perang di Libya serta Yaman."
Arab Saudi dan UAE pada hari Isnin memberi respon terhadap ucapan Qatar dengan menuduh Doha "menarik kembali" keputusan yang telah diambil ketika persidangan sudah tiba ke kesimpulan kemuncak.
Qatar merupakan subjek embargo ekonomi berusia dua tahun yang diketuai oleh Arab Saudi. Embargo itu merangkumi sekatan perjalanan langsung dan lain-lain.
Perdana Menteri Abdullah bin Nasser Al Thani yang menghadiri sidang kemuncak itu, merupakan pegawai kanan Qatar pertama yang melawat kerajaan Arab Saudi sejak boikot bermula pada tahun 2017. -Press TV
3 Jun 2019 - 15:54
News ID: 946915
Perdana menteri Pakistan didakwa "menghina" Raja Salman di dalam sebuah sesi sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dianjurkan di Mekah, sekaligus menimbulkan kemarahan di dalam kerajaan monarki mutlak itu.